ULASAN | Kepimpinan PM Muhyiddin Yassin tidak pernah percaya bahawa rakyat kita malas terutamanya orang Melayu.
Ketika ahli-ahli parlimen pembangkang termasuk beberapa watak pemimpin dari parti yang kononnya menyokong kerajaan Malaysia hari ini asyik mempertikaikan beberapa isi Belanjawan 2021 secara terbuka, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menjalankan tugasnya tanpa mengira waktu bagi mengekang penularan Covid-19 serta menangani masalah sosio-ekonomi yang diakibatkan oleh wabak tersebut.
Dalam waktu yang sama, sebagai pemimpin yang muncul dari golongan rakyat biasa, "Abah" terus meneliti dan mendengar segala keluhan, rintihan, saranan serta teguran dari segenap lapisan masyarakat.
Begitulah juga yang sedang diusahakan barisan kabinet beliau. Bantuan kepada rakyat, sama ada secara langsung atau tidak langsung sedang berjalan ketika Dewan Rakyat sibuk bersidang.
Adalah lazim jika segala usaha dan keputusan baik dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini masih mendapat kecaman dari pihak-pihak tertentu terutama mereka yang tidak pernah bersyukur, yang berkepentingan politik, yang terhasut oleh propaganda anti kerajaan di media sosial, serta yang memang secara azalinya tidak pernah puas hati selagi kepentingan peribadi mereka tidak terpenuhi.
Cuba sebut negara Islam mana bagi moratorium 6 bulan?
Begitulah sikap manusia yang terpaksa dihadapi walau negara dan bangsa sedang berperang dengan musuh yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar seperti Covid-19 yang ternyata telah meragut ratusan nyawa di negara ini.
Jatuh bangunnya negara kita ini tidak hanya terletak kepada kerajaan yang mentadbir, tetapi juga rakyatnya yang memahami.
Hanya kerana ada yang mendendangkan supaya moratorium bayaran balik pinjaman bank diperpanjangkan lagi secara pukal serta gesaan agar para pencarum dapat mengeluarkan RM10 ribu sekaligus dari akaun 1 KWSP tanpa mengira status, telah membuatkan sesetengah warganet di luar sana bagaikan terkena histeria melemparkan pelbagai spekulasi dan prasangka tanpa asas terhadap kerajaan.
Fikirlah tuan-tuan, puan-puan, adik kakak sekalian, cuba sebut negara Islam mana, negara membangun mana yang awal-awal lagi dengan beraninya mengisytiharkan moratorium bayaran balik pinjaman bank selama 6 bulan ketika gelombang pertama Covid-19 menyerang seluruh dunia?
Itu keputusan bersejarah kerajaan Perikatan Nasional demi kita semua, rakyat Malaysia.
Renungkanlah bila kali terakhir kerajaan negara ini membenarkan pengeluaran akaun 1 KWSP secara bersasar bagi meringankan beban kewangan golongan pencarum tertentu yang amat memerlukannya?
Ia bukanlah suatu kelaziman untuk "mengusik" wang KWSP yang amat penting di waktu usia persaraan nanti. Negara kita ada sistem untuk jaga kebajikan pekerja swasta yang cukup tersusun.
Apakah kita tidak bersyukur kerajaan Malaysia hari ini peka terhadap tahap kesihatan rakyat sendiri dengan memperketatkan kemasukan warga asing, tidak seperti perdana menteri terdahulu yang merasakan ok dengan kebanjiran pelancong dari negara komunis tertentu ketika dunia mula dilanda Covid-19?
Cuba lihat warga asing kurang atau bertambah di negara ini ketika Perikatan Nasional mentadbir?
'Gila jadi PM dari abad lepas lagi'
Adakah kita semua lupa dengan janji manifesto kerajaan terdahulu yang bagaikan menawarkan bulan dan bintang kepada pengundi andai mereka mentadbir namun akhirnya "sebanyak" RM30 jualah yang berjaya diselitkan dalam poket rakyat
Ini tatkala mereka menagih suatu perubahan untuk memulihkan negara ini. Sedih.
Adakah kita mahu buat pusingan U untuk beri laluan kelompok tersebut berkuasa kembali? Bersama para fanatik pengganas LTTE?
Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah percaya bahawa rakyat kita malas terutamanya orang Melayu.
Sewajarnya "serangan" Covid-19 yang tidak mengenal insan ini mampu menyatukan kita semua untuk bersama menghadapinya dengan lebih sabar, lebih rajin, lebih kuat, lebih mandiri, dan lebih bertawakal.
Jauhkan diri kita dari terpedaya dengan golongan yang korup, gila mahu jadi perdana menteri dari abad lepas lagi, dan mereka yang punya agenda subversif anti semangat kebangsaan.
MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.