ULASAN | Nama bekas perdana menteri Najib Razak tiba-tiba menjadi pertikaian apabila dia dilantik sebagai Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).
Kedudukan Najib yang telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah berhubung pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa sedikit sebanyak memberi kesan kepada imej Umno BN apabila dia dipilih memimpin BNBBC.
Umno dilihat bagaikan ketandusan pemimpin untuk menerajui isu penting dalam BN dan Umno.
Parti dominan orang Melayu itu bagaikan tiada "pahlawan" yang mampu untuk "berperang" di Parlimen atau di medan politik sehingga terpaksa bergantung dengan "pahlawan Bugis" yang telah tercedera.
Seperti kata Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin dalam satu temu bual bersama sebuah portal berita, Umno perlu menolak Najib jika bekas presiden parti itu cuba meletakkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan rakyat dalam apa juga tindakan yang dilakukannya.
Pemilihan Najib sebagai pengerusi BNBBC membuka ruang kepada Umno dan BN untuk menerima serangan daripada musuh politiknya terutama DAP.
Itu sesuatu yang perlu diterima dan diakui Umno BN apabila meletakkan pemimpin itu di barisan hadapan.
Ahli Parlimen veteran DAP, Lim Kit Siang misalnya antara yang lantang mempertikai pemilihan Najib bagi mengetuai BNBBC.
Ini kerana katanya Najib kini sedang berhadapan krisis moral kerana bekas perdana menteri itu masih dalam perbicaraan pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram di mahkamah.
Lim menggunakan kesempatan itu untuk menyerang Najib "habis-habisan" yang mana akan terkesan juga kepada Umno dan BN secara tidak langsung.
Tidak dinafikan, Umno perlu melakukan perubahan dan diberi nafas baru jika mahu terus kekal relevan di hati rakyat, khususnya orang Melayu.
Umno perlu menampilkan muka-muka baru, ataupun pemimpin pelapis, supaya rakyat dapat melihat dengan jelas individu-individu yang bakal memimpin parti itu serta jelas hala tujunya.
Pun begitu, bukan bermakna sumbangan Najib pada Umno tidak diperlukan. Bahkan tidak boleh dinafikan bahawa Ahli Parlimen Pekan itu masih mempunyai pengaruhnya yang tersendiri.
Tidak dinafikan Umno masih memerlukan sokongan Najib dan sedikit sebanyak pengaruh Najib masih diperlukan untuk menarik sokongan khususnya anak muda kepada Umno.
Bahkan pengalaman Najib mengemudi Umno dan negara khususnya membabitkan fakta ekonomi masih diperlukan Umno BN. Tidak boleh dinafikan itu keupayaan Najib dalam menjawab isu-isu ekonomi semasa negara.
Najib masih mempunyai pengaruhnya yang tersendiri di media sosial dan mempunyai pengikut yang cukup ramai di media sosial.
Meskipun peranan Najib masih diperlukan dalam parti, dia sepatutnya berada di belakang tabir yang memainkan peranan membantu dan memberi sokongan kepada kepimpinan baru parti.
Paling penting Najib tidak dilihat menggunakan parti bagi menyelesaikan kemelut dihadapinya, khususnya dalam isu membabitkan sokongan kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.
HASPAIZI ZAIN ialah wartawan Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.