Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelantan perkenal gelang hijau pengawasan Covid-19

Kelantan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memperkenalkan gelang hijau pengawasan Covid-19 kepada individu tertentu yang masuk ke negeri itu dengan tujuan khas khususnya melibatkan pegawai-pegawai kerajaan.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, gelang hijau pengawasan itu akan dipakaikan kepada pegawai-pegawai termasuk golongan orang kenamaan yang datang dari zon merah yang masuk ke negeri ini atas urusan rasmi.

"Jika sebelum ini gelang berwarna pink dipakai kepada individu dari zon merah dan dikuarantin selama 14 hari selepas melakukan ujian saringan Covid-19.

"Bermula semalam kita memperkenalkan gelang pengawasan berwarna hijau bagi pegawai-pegawai atau golongan kenamaan yang masuk ke negeri ini atas tujuan rasmi yang akan dipantau di sekatan pintu-pintu masuk negeri termasuk di lapangan terbang.

"Jika di surat kebenaran merentas negeri adalah bertujuan untuk bermesyuarat, individu yang memakai gelang hijau ini hanya dibenarkan untuk ke lokasi mesyuarat sahaja.

"Sebaik sahaja urusan rasmi itu selesai gelang itu akan digunting sebelum mereka pulang ke negeri asal dan mereka tidak perlu menjalani kuarantin sekiranya tidak mempunyai simptom," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Sebagai rekod Kelantan salah satu daripada negeri yang tidak dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang diperluaskan penguatkuasaanya ke negeri lain bermula hari ini.

Bagaimanapun Izani berkata, masih wujud kebimbangan susulan bermula cuti persekolahan yang diumumkan semalam dan pihaknya berharap masyarakat terutamanya rakyat negeri ini supaya kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan Covid-19.

Katanya, susulan PKPB di kebanyakan negeri sudah tentu ramai rakyat Kelantan akan pulang termasuk dari kawasan zon merah.

"Kita khuatir susulan bermula cuti persekolahan yang pastinya mereka yang berada di asrama, universiti akan pulang.. dan kebanyakkannya adalah dari zon merah, jadi kita minta mereka kekal patuh kepada SOP dan menjalani kuarantin selama 14 hari.

"Sekiranya rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan termasuk memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizik kita boleh memutuskan penularan Covid-19 sehingga 80 peratus," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS