Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Yang suka, ok dan kurang memuaskan tentang Belanjawan 2021'
Diterbitkan:  Nov 9, 2020 3:29 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan memberi "tiga rasa" atau pandangan terhadap Belanjawan 2021 yang dbentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat lalu.

Dia yang juga naib ketua Pemuda Umno berkata, belanjawan yang diumumkan baru-baru ini ada "yang suka" ada yang "ok" dan "kurang memuaskan".

Jelasnya, pengumuman yang paling menarik perhatian adalah inisiatif JanaKerja yang disasar akan menbuka 500,000 peluang pekerjaan selain peningkatan kemahiran dan latihan semula.

"Suka, saiz belanjawan RM322.5 bilion. Terbesar dalam sejarah Malaysia. Mencerminkan keperluan untuk kerajaan mengembangkan ekonomi, serta kesediaan menerima defisit yang lebih tinggi.

"Tak bermaksud semua belanja secara automatiknya baik, tetapi secara kasar, penambahan belanja itu bagus. 'Transfer payments' atau peralihan (bantuan) tunai dari kerajaan ke rakyat

"Ditingkatkan dari RM 5 bilion ke RM 6.5 bilion. Lebih mencerminkan pendekatan BN dahulu yang memulakan konsep peralihan tunai ini melalui BR1M, bantuan musim tengkujuh, bantuan elaun petani, elaun nelayan, elaun imam, dan sebagainya," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menyifatkan Belanjawan 2021 mengangkat tema "Teguh Kita, Menang Bersama" sebagai tanda muafakat ahli Dewan Rakyat bagi menjulang harapan rakyat

Jelasnya, wakil rakyat boleh berbalah dan berbeza pandangan atas perkara cabang, tetapi perlu bersatu atas perkara dasar.

Belanjawan kali ini mencuri perhatian bukan saja kerana peruntukan besar diumumkan kerajaan, namun ia juga belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Belanjawan kali ini diumumkan ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dikatakan tidak mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Shahril menyifatkan beberapa pengumuman dalam bajet baru-baru ini sekadar "ok" termasuk pengumuman Majlis Pekerjaan Negara (MPN) yang belum jelas skop kerjanya.

Turut diletakkan di kategori sama oleh Shahril ialah mengenai keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersyarat sebanyak RM500 sebulan untuk 12 bulan.

"Ok, tetapi sepertimana yang pernah saya sebut sebelum ini, lebih afdal kerajaan yang beri duit dan bukan rakyat merisikokan simpanan sendiri. Ya, dari segi moralnya ini 'duit kita'.

"Jadi terpulang kepada masing-masing apa yang terbaik dan kerajaan telah membenarkan pengeluaran walaupun berbentuk bulanan dan hanya RM500 sebulan," katanya lagi.

Sementara itu apa yang kurang memuaskan dalam bajet baru-baru ini kata Shahril membabitkan teknologi hijau serta langkah-langkah untuk membantu pembelajaran mahasiswa yang terkesan akibat Covid-19.

Begitu juga dengan peruntukan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) lebih RM80 juta yang menjadi pertikaian ramai pihak.

"Tiada yang sempurna. Pelaksanaan menjadi medan ujian. Moga segala maklum balas dari segenap pihak dikaji oleh kerajaan," katanya lagi


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS