Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nahas pertama babitkan model heli G2CA di Asia Tenggara

Kemalangan melibatkan dua helikopter jenis Guimbal Cabri G2 (G2CA) di Taman Melawati dekat Kuala Lumpur hari ini merupakan insiden pertama di negara ini dan Asia Tenggara yang membabitkan pesawat model sama.

Carian Bernama di laman sesawang penerbangan Rangkaian Keselamatan Penerbangan mendapati insiden hari ini merupakan yang ke-45 dan ke-46 sejak kemalangan pertama membabitkan model itu berlaku di Baden, Jerman pada 19 April 2010.

Data itu juga menunjukkan terdapat lima lagi insiden membabitkan model sama yang dilaporkan berlaku pada tahun ini iaitu dua di Amerika Syarikat serta masing-masing satu di Switzerland, Poland dan Australia.

Insiden membabitkan model itu juga adalah yang pertama di rantau Asia Tenggara dan ketiga di Asia selepas dua nahas di Australia pada 2012.

Helikopter keluaran syarikat Perancis, Guimbal itu dilengkapi dengan kipas tiga bilah dan mampu terbang berterusan selama empat setengah jam selain mempunyai kelajuan maksimum 100 knot.

Mengulas insiden yang berlaku hari ini, pakar penerbangan Profesor Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata helikopter jenis ini sering digunakan bagi tujuan latihan dan ia memiliki tiga bilah kipas utama yang membuatkannya lebih stabil apabila melakukan putaran secara automatik atau ‘auto-rotation.’

Auto-rotation itu merupakan kaedah yang boleh diguna pakai jika enjin helikopter tidak berfungsi. Kaedah ini bertujuan untuk mendaratkan pesawat dengan selamat (ketika kecemasan) walaupun daya enjin sudah tiada.

“Jika kedua-dua pesawat itu berlanggar sewaktu latihan, pesawat hendaklah dikendalikan untuk pendaratan cemas. Kawasan lapang hendaklah dicari untuk pendaratan dan kaedah auto-rotation hendaklah diaplikasikan dan mana-mana sistem pesawat yang berada dalam keadaan ‘fault’ hendaklah diasingkan (untuk tujuan pendaratan),” katanya kepada Bernama.

Juruterbang ujian Universiti Kuala Lumpur (UniKL) itu berkata jika tiada kotak hitam dalam pesawat, siasatan akan dibuat daripada pelbagai aspek antaranya analisis video kejadian, mengambil keterangan saksi, membuat pemetaan komponen pesawat yang dijumpai, menganalisis kesan remukan dan melihat kembali rekod penyelenggaraan bagi mencari punca sebenar kejadian.

“Buat masa sekarang, kita tidak dapat mengagak apa yang menyebabkan tragedi ini berlaku. Pihak berkuasa telah memagarkan tempat kejadian untuk mengumpul bukti-bukti yang berkaitan. 

"Video akan diteliti dan saksi kejadian akan ditemu ramah dan juga aplikasi FlightRadar yang menunjukkan pergerakan kedua-dua helikopter di udara akan dianalisis untuk menentukan punca kejadian,” katanya.

Kemalangan itu membabitkan dua helikopter (9M-HCA & 9MHCB) jenis G2CA yang berlaku ketika kedua-duanya sedang melakukan latihan penerbangan setelah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang dengan setiap pesawat membawa dua orang.

Sebuah daripada pesawat itu terhempas dan meragut nyawa bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia Mohamed Sabri Baharom, 56, yang beralamat di Wangsa Melawati dan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 41, beralamat di Jalan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sistem Penerbangan Malaysia Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan Tan Chai Eian, 51, yang menaiki sebuah lagi helikopter model 9M-HCA terselamat selepas berjaya melakukan pendaratan cemas di kawasan berdekatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS