Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nahas helikopter: Biro Siasatan Kemalangan Udara mulakan siasatan
Diterbitkan:  Nov 8, 2020 3:49 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) memulakan siasatan berhubung insiden kemalangan helikopter di Taman Melawati, Kuala Lumpur yang terjadi hari ini.

Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata ia membabitkan siasatan teknikal Annex 13 – Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13).

Laporan awal siasatan katanya perlu disediakan dalan tempoh 30 hari dari tarikh kejadian kemalangan.

Susulan daripada kemalangan udara tersebut, siasatan teknikal berdasarkan ICAO Annex 13 telah dimulakan oleh pasukan BSKU, Kementerian Pengangkutan.

"Berdasarkan ICAO Annex 13, laporan awal siasatan perlu disediakan dalam masa 30 hari dari tarikh kejadian kemalangan udara tersebut.

"Tujuan utama penyiasatan dilaksanakan adalah untuk menentukan hal keadaan dan punca kemalangan dengan tujuan untuk menyelamatkan nyawa dan juga mengelakkan berlaku kemalangan yang sama di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

Wee berkata, penyiasatan yang dilaksanakan tidak bertujuan untuk membuktikan kesalahan atau liabiliti.

Jelasnya, pasukan penyiasat tersebut akan mengeluarkan satu laporan penuh berhubung hasil siasatan termasuk syor penambahbaikan bagi keselamatan penerbangan awam setelah keseluruhan siasatan selesai.

Terdahulu, media melaporkan dua terbunuh manakala dua yang lain cedera parah selepas dua helikopter bertembung antara satu sama lain berhampiran Taman Melawati, Selangor hari ini.

Menurut maklumat awal daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, kemalangan itu berlaku menjelang tengah hari.

Difahamkan korban itu membabitkan dua lelaki, manakala mangsa yang cedera melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita.

Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 11.46 pagi.

Dalam pada itu, Wee berkata dapatan daripada hasil laporan tersebut akan digunakan oleh kerajaan sebagai asas untuk mengemukakan syor-syor penambahbaikan secara holistik terhadap industri penerbangan awam negara.

Katanya, Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KL ARCC) telah diaktifkan untuk membantu dalam usaha pengkoordinasian operasi menyelamat ini.

"Dua helikopter ini yang sedang melakukan latihan penerbangan telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang bersama 4 orang krew.

"Kedua-dua helikopter ini dilaporkan bertembung sesama sendiri di udara di mana satu helikopter telah terhempas dan satu lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan SJKT Taman Melawati," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS