Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan lagi satu unit propaganda, kata Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan.
"Jasa adalah Jabatan Hal Ehwal Khas. Peranannya berubah mengikut situasi semasa. Saya difahamkan bahawa niat kerajaan setakat ini adalah untuk memastikan kerajaan sentiasa mendengar dan faham rintihan rakyat, dan pada masa yang sama rakyat juga boleh mendapat maklumat tepat dari kerajaan.
"Bukan untuk propaganda seperti dulu. Era itu sudah berakhir,” tulis Wan Saiful di akaun Facebook hari ini.
Wan Saiful menjelaskan bahawa peranan Jasa juga telah berubah mengikut situasi semasa.
“Saya difahamkan bahawa niat kerajaan setakat ini adalah untuk memastikan kerajaan sentiasa mendengar dan faham rintihan rakyat, dan pada masa yang sama rakyat juga boleh mendapat maklumat tepat dari kerajaan (Menerusi Jasa),” katanya.
Wan Saiful berkata demikian susulan tindakan kerajaan PN yang menghidupkan semula unit propaganda Jasa, dengan peruntukan RM85.5 juta di bawah Belanjawan 2021.
Operasi Jasa dihentikan selepas Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan persekutuan sebagai langkah mengurangkan kos.
Namun ketika pentadbiran BN, 222 anggota Jasa telah dikerahkan di setiap kawasan Parlimen.
Pengkritik malah mendakwa tugas anggota Jasa adalah untuk menyebarkan propaganda.
Sementara itu, Wan Saiful turut berkata, teknologi yang diperlukan untuk komunikasi berkesan tidak murah. Maka tidak pelik jika peruntukan yang secukupnya wajar diberikan buat Jasa.
“Itu kita belum bercakap mengenai kos tangani berita palsu yang sengaja disebarkan lagi. Mungkin sebab itu juga lah peruntukan emolumen hanya sekitar RM4 juta sahaja daripada jumlah penuh yang diperuntukkan. Tak besar pun, sebenarnya.
“Yang lain adalah untuk pembelian keperluan termasuk teknologi yang diperlukan,” katanya.
Selain itu, Wan Saiful turut berkata pembangkang kini sedang cuba untuk membesarkan isu peruntukan Jasa.
Tambahnya, PN juga tidak boleh jadi seperti kerajaan PH sebelum ini yang tidak mendengar rintihan rakyat.
“PH dahulu gagal memahami bahawa rakyat mahukan bantuan kos sara hidup, bantuan perniagaan, peluang pekerjaan, dan lain-lain insentif untuk kehidupan sempurna.
“PN jangan jadi begitu. Jika perlu pelaburan teknologi baru untuk menggarap permintaan rakyat, maka kita patut buat agar tawaran dan inisiatif kerajaan sentiasa tepat dengan keperluan rakyat,” tambahnya.