Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pengecualian cukai beli bas baru tak bantu pengusaha terjejas
Diterbitkan:  Nov 8, 2020 10:31 AM
Dikemaskini: 2:31 AM

Langkah kerajaan persekutuan memberikan pengecualian cukai pembelian bas baru yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, Jumaat lalu, dilihat tidak membantu pengusaha yang sedia terhimpit dengan kekangan kewangan akibat pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Kelantan, Che Ibrahim Che Ismail, berkata langkah itu tidak melegakan pengusaha bas yang kini disifatkan dalam keadaan terdesak.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi yang begitu mencabar, tiada pengusaha bas sanggup membeli bas baru.

"Sedangkan yang sedia ada pun sudah tersadai kerana tidak mampu beroperasi. Malah pengumuman itu tidak membantu pengusaha yang ketika ini lebih memikirkan bagaimana hendak menampung kos dan meneruskan operasi dengan kemerosotan pendapatan.

"Kita menyeru kerajaan mempertimbangkan pemberian moratorium kepada semua pengusaha sehingga secara umumnya perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19 ini ditamatkan.

"Moratorium ini hendaklah diberikan tanpa bersyarat kepada para pengusaha bas dan harus membabitkan syarikat-syarikat kredit, tidak hanya institusi perbankan.

"Pengenaan faedah akibat penjadualan semula pinjaman daripada bank dan syarikat kredit harus turut dikecualikan," katanya dalam kenyataan media di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, mengumumkan pengecualian cukai antara lain melibatkan pembelian bas baru oleh pengusaha.

Sementara itu, Che Ibrahim berkata, pihaknya juga memohon agar kerajaan mengkaji semula kelayakan pengusaha untuk menerima Program Subsidi Upah (PSU) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (Prihatin).

Katanya, had bilangan pekerja yang layak menerima faedah PSU ini tidak harus dihadkan kepada 200 orang untuk sebuah perusahaan yang mempunyai lebih daripada 200 orang pekerja, sebaliknya hendaklah mengikut jumlah pekerja seperti yang didaftarkan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Tempoh program ini yang dijaduakan berakhir pada 31 Disember 2020 juga perlu dilanjutkan mengikut kesesuaian berpandukan kepada situasi semasa.

"Susulan pengumuman PKB bersyarat (PKPB) di hampir semua negeri, pengusaha bas kini semakin terhimpit dan mungkin akan menghentikan operasi sebenuhnya kerana tidak mampu menanggung kos operasi," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS