Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1,168 kes, tiga kematian, 87 di ICU
Diterbitkan:  Nov 7, 2020 6:18 PM
Dikemaskini: 11:37 AM

Sebanyak 1,168 kes baru dan tiga kematian Covid-19 direkodkan setakat jam 12 tengah hari ini, maklum Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham.

Ia menjadikan jumlah korban terkumpul seramai 282 orang.

Dr Noor Hisham juga berkata, kesemua kes baru hari ini adalah penularan dalam negara dan tiada kes import dilaporkan.

“Sabah terus mencatatkan kes baru tertinggi dengan 616 kes, Selangor mencatat 247 kes, Wilayah Persekutuan Labuan (104), Negeri Sembilan (68), Perak (37) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (28).

“Sarawak dengan 25 kes, Pulau Pinang (18), Kedah (15), Johor (lima), Terengganu (tiga) dan Melaka dengan dua kes,” katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 di Kementerian Kesihatan (KKM), di Putrajaya.

Sehingga kini, jelas Noor Hisham seramai 87 sedang dirawat di ICU dan 32 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau juga berkata semua kes maut pada hari ini melibatkan warga negara yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

“Kematian ke-280 adalah wanita, 51 tahun dengan latar belakang penyakit darah tinggi, obesiti dan dislipidemia, kematian ke-281 juga wanita berusia 62 tahun dengan penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia, manakala kematian ke-282, lelaki berumur 55 tahun dengan penyakit kencing manis, darah tinggi, dan strok,” katanya.

Sementara itu,  sebanyak 1,029 kes sembuh direkodkan, paling tinggi setakat ini.

Kerajaan hari ini mengumumkan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri dari 9 Nov hingga 6 Dis berikutan peningkatan kes Covid-19.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata PKPB akan dikuatkuasakan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Selain itu katanya, PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan daerah-daerah yang terjejas di Sabah juga akan dilanjutkan selama 28 hari lagi.

Empat negeri yang tidak terjejas adalah Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Ringkasan Status Terkini Covid-19 Di Malaysia, 07 November 2020:

Kes sembuh=1,029

Jumlah kes sembuh=27,409 kes

Kes baru positif=1,168

(kes import=0, kes tempatan=1,168)

Jumlah positif=39,357 kes

Kes kematian=3

Jumlah kes kematian=282 kes

Kes dirawat di ICU=87 kes

Bantuan Alat Pernafasan=32 kes


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS