Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPB di kebanyakan negeri dari 9 Nov hingga 6 Dis
Diterbitkan:  Nov 7, 2020 4:58 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Kerajaan akan melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di kebanyakan negeri dari 9 Nov hingga 6 Dis berikutan peningkatan kes Covid-19.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata PKPB akan dikuatkuasakan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Selain itu katanya, PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan daerah-daerah yang terjejas di Sabah juga akan dilanjutkan selama 28 hari lagi.

Empat negeri yang tidak terjejas adalah Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Bagaimanapun, penduduk di negeri-negeri tersebut tidak dibenarkan melakukan perjalanan ke negeri lain melainkan perjalanan rentas daerah masih dibenarkan.

Bagi Sarawak, penduduk di negeri itu dibenarkan melakukan perjalanan ke mana-mana daerah di negeri ini kecuali Kuching.

Sepanjang penguatkuasaan PKPB di negeri-negeri tersebut, semua institusi pendidikan akan ditutup.

Kegiatan ekonomi dibenarkan tetapi harus mengikut waktu yang dibenarkan untuk beroperasi.

Sebagai contoh, bagi pasar harian, operasi perniagaan dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 2 petang; pasar borong dari jam 4 pagi hingga 2 petang; dan pasar tani dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari.

Pasar malam dan stesen minyak dibenarkan beroperasi dari jam 4 petang hingga 10 malam, kecuali stesen minyak di sepanjang lebuh raya yang akan dibuka  24 jam.

Pengangkutan awam dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Di Perak, kerajaan mengenakan PKPD di sekolah Maahad Al-Yahyawiah di Kuala Kangsar, Perak, mulai esok hingga 21 November.

Sementara itu, PKPD di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Balung dan Taman Semarak di Tawau, Sabah akan berakhir esok seperti dijadualkan.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan mengenakan PKPB di seluruh negeri di Sabah, Ismail berkata Majlis Keselamatan Nasional (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka akan membincangkan perkara itu pada Isnin.

"Kita ada bincang tadi di sidang khas MKN tentang situasi di Sabah. Kita lihat hampir seluruh Sabah merah. Jadi kita telah diminta oleh PM untuk adakan mesyuarat khas jawatan kuasa teknikal untuk lihat lebih detail bagi menentukan SOP berkaitan.

"Saya percaya pada Isnin ini MKN dan KKM akan bentangkan dalam sidang khas, jika ada apa-apa keputusan kita akan umumkan.

"Kalau berlaku apa-apa perubahan, peguam negara perlu mewartakan SOP," katanya.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS