BELANJAWAN 2021 | Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak menerima cadangan Umno dan Pakatan Harapan untuk melanjutkan skim moratorium pinjaman.
Sebaliknya, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 membenarkan golongan kategori B40 untuk memilih dari dua pilihan sekiranya mereka menghadapi masalah untuk membayar pinjaman.
"Bank melaporkan bahawa 85 peratus pemberi pinjaman meneruskan pembayaran setelah moratorium tamat pada 30 September.
"Bagaimanapun, bank membenarkan golongan kategori B40 untuk memilih dari dua pilihan sekiranya mereka menghadapi masalah untuk membayar pinjaman," katanya dalam ucapannya di Dewan Rakyat, petang tadi.
Menurutnya, golongan B40 boleh memilih moratorium tiga bulan atau mengurangkan pembayaran ansuran bulanan mereka sebanyak separuh selama enam bulan.
"Mereka yang berada dalam kategori M40 boleh menyusun semula pakej kewangan mereka melalui proses pengisytiharan diri sekiranya mereka mengalami pengurangan pendapatan.
"Kemudahan ini akan bermula pada Disember 2020," tambahnya.
Sebelum ini, BN dan PH menggesa kerajaan menyambung moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan lagi atau sebahagian daripadanya untuk mereka yang berkelayakan di bawah kumpulan B40 dan M40.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda). juga mahu moratorium pinjaman bank dilanjutkan sehingga Jun 2021.
Moratorium atau penangguhan bayaran tersebut sebelum ini dilaksanakan selama enam bulan dari 1 April hingga 30 Sept lalu.
Selepas itu, kerajaan memperkenalkan moratorium pinjaman secara bersasar dengan tumpuan kepada mereka yang kehilangan kerja, manakala individu dan perniagaan yang dapat membuktikan pengurangan pendapatan dibenarkan berunding semula syarat pinjaman mereka dengan pihak bank.