Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belanjawan 2021: Tanda muafakat ahli Dewan Rakyat
Diterbitkan:  Nov 6, 2020 7:21 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menyifatkan Belanjawan 2021 mengangkat tema "Teguh Kita, Menang Bersama" sebagai tanda muafakat ahli Dewan Rakyat bagi menjulang harapan rakyat

Jelasnya, wakil rakyat boleh berbalah dan berbeza pandangan atas perkara cabang, tetapi perlu bersatu atas perkara dasar.

"Kita boleh berbalah dan berbeza pandangan atas perkara cabang, namun bermuafakatlah kita atas perkara dasar.

"Jika sebelum ini kita pernah bersama sebulat suara bersetuju dengan penubuhan Kumpulan Wang Covid-19, adalah harapan ramai di dalam dewan yang mulia ini mahupun rakyat di luar sana - belanjawan ini dijulang menjadi kanun saksi perpaduan kita demi rakyat.

"Saya punya sebuah kepercayaan. Betapa bangsa Malaysia ialah bangsa yang berani, bangsa yang kuat, yang bila sepakat kita mampu melakukan yang luar biasa.

"Atas hakikat itulah Belanjawan 2021 ini mengangkat sebagai tema 'Teguh Kita, Menang Bersama'," katanya sebelum menamatkan pembentangan Belanjawan 2021.

Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, masyarakat perlu bersyukur negara masih kuat mendepani cabaran yang melanda ketika ini.

Oleh itu katanya, harapan rakyat perlu didakap erat kerana kepercayaan rakyat terlalu mahal.

"Kita perlu bersyukur, kita masih kuat menggagahi semua ini. Kuatnya negara ini adalah kerana rakyatnya tabah berkorban membenteng negara.

"Maka sebab itu, bagi kerajaan, nurani rakyat mesti didakap erat, kerana kepercayaan rakyat mahal maharnya," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS