Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Belanjawan 2021 santuni pandangan Umno, walau ada beza jumlah bantuan'
Diterbitkan:  Nov 6, 2020 7:16 PM
Dikemaskini: 2:00 PM

Meskipun terdapat perbezaan jumlah bantuan yang dituntut, Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki berkata secara dasarnya, Menteri Kewangan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menyantuni pandangan partinya.

“Sebagai contoh, Pemuda Umno tuntut agar lanjutan tempoh moratorium secara pukal dalam tempoh 3 hingga 6 bulan. Kedua, Pemuda Umno juga menuntut, kebenaran pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekurang-kurangnya RM5,000.

“Ketiga, e-wallet yang dicadangkan adalah bernilai RM50 sebulan untuk tempoh 12 bulan kepada belia yang belajar di universiti awam dan swasta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Asyraf, pihak Pemuda Umno akan mengkaji dan memperhalusi implikasi Belanjawan 2021 ini kepada rakyat secara menyeluruh.

Asyraf berkata demikian selepas Zafrul selesai membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Antara lain, dalam ucapan belanjawan itu, Zafrul mengumumkan tiada pelanjutan skim moratorium pinjaman seperti sebelum ini.

Zafrul berkata bank melaporkan bahawa 85 peratus pemberi pinjaman meneruskan pembayaran setelah moratorium tamat pada 30 September.

Bagaimanapun, bank membenarkan golongan kategori B40 untuk memilih dari dua pilihan sekiranya mereka menghadapi masalah untuk membayar pinjaman.

Pilihan itu ialah sama ada memilih moratorium tiga bulan atau mengurangkan pembayaran ansuran bulanan mereka sebanyak separuh selama enam bulan, atau mereka yang berada dalam kategori M40 boleh menyusun semula pakej kewangan mereka melalui proses pengisytiharan diri sekiranya mereka mengalami pengurangan pendapatan.

Kemudahan ini akan bermula pada Disember 2020.

Zafrul juga mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 ringgit sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.

"Pengeluaran ini adalah bagi membantu ahli-ahli (pencarum KWSP) yang kehilangan perkerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan 600,000 ahli yang terjejas," katanya.

Pemimpin Umno sebelum ini menggesa agar Belanjawan 2021 merangkumi lanjutan moratorium dan membolehkan pencarum KWSP mengeluarkan Akaun 1 susulan kesan ekonomi yang dihadapi rakyat akibat Covid-19.

Terdahulu, Zafrul mengumumkan Belanjawan 2021 yang berjumlah RM322.54 bilion yang merupakan belanjawan paling besar pernah diumumkan kerajaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS