Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiga, termasuk dua pegawai polis ditahan, disyaki tipu boleh selesai kes
Diterbitkan:  Nov 6, 2020 4:58 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Tiga lelaki termasuk dua pegawai polis ditahan semalam selepas seorang suspek kes judi dalam talian mendakwa beliau ditipu berhubung tawaran menyelesaikan kes mahkamah yang dihadapinya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pegawai polis yang ditahan itu masing-masing berpangkat ASP berusia 38 tahun dan Inspektor berusia 34 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

"Seorang lagi yang ditahan ialah penjawat awam yang bertugas di Mahkamah Petaling Jaya berusia 49 tahun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan mereka akan direman untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita, hari ini.

Nik Ezanee berkata pengadu ditahan bersama 35 pekerjanya pada 2 Okt lalu di Petaling Jaya dan direman selama tiga hari.

"Pada 4 Okt semasa dalam reman, pengadu mendakwa beliau dibawa ke bilik seorang pegawai kanan penyiasat di Balai Polis Sea Park dan menemui petugas mahkamah itu yang mengaku dirinya sebagai orang tengah yang boleh membatalkan sambungan reman ke atas beliau dan pekerjanya serta memulangkan barang kes dengan bayaran RM800,000," katanya.

Nik Ezanee berkata pegawai kanan penyiasat itu kemudian kononnya menghubungi pakar aktiviti perjudian supaya laporan yang dikeluarkan negatif bagi membolehkan kes ditutup dan kemudian mengarahkan kepada seorang lelaki didakwa sebagai Majistret untuk membatalkan sambungan reman terhadap pengadu dan pekerjanya.

Beliau berkata pengadu menerusi isterinya kemudian menyerahkan wang tunai pendahuluan dalam mata wang Singapura berjumlah 99,000 dolar (RM303,000) kepada orang tengah itu pada 5 Okt di Petaling Jaya.

Bagaimanapun, pengadu menyedari tertipu apabila pada 23 Okt Timbalan Pendakwa Raya mengeluarkan arahan pertuduhan.

Pengadu kemudiannya membuat laporan polis pada 4 Nov yang membawa kepada tangkapan sepasang suami isteri warga tempatan pada hari yang sama untuk membantu siasatan.

Dalam kes berasingan, Nik Ezanee berkata polis menahan seorang anggota polis berusia 34 tahun di Kampung Lindungan, di Petaling Jaya, kerana menyeludup lapan pendatang tanpa izin, pagi semalam.

Beliau berkata kereta anggota polis itu ditahan pada 6 pagi kerana mencurigakan dan siasatan awal mendapati terdapat dua lelaki dan tiga wanita kesemuanya pendatang tanpa izin berusia lingkungan 31 hingga 48 tahun di dalam kereta berkenaan.

"Pada 6.30 pagi dengan dipandu arah oleh suspek, satu serbuan dibuat ke atas sebuah rumah di kawasan berkenaan dan mendapati terdapat dua lelaki dan seorang wanita kesemuanya pendatang tanpa izin berusia lingkungan 25 hingga 5 tahun di rumah itu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran dan semua yang ditahan akan direman bagi siasatan lanjut," katanya.

Nik Ezanee berkata polis turut membuka satu kertas siasatan terhadap anggota polis berkenaan kerana mengugut untuk membuat tohmahan dan membalas perbuatan menangkap dirinya terhadap pegawai yang menyiasat kes berkenaan kerana mendakwa pegawai yang menyiasat itu menganiaya dirinya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS