Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adun Jeram Padang minta mangsa banjir NS diberi air percuma
Diterbitkan:  Nov 6, 2020 1:47 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

Adun Jeram Padang, Manickam Letchuman, meminta Syarikat Air Negeri Sembilan Berhad (Sains) memberikan bekalan percuma kepada pengguna yang terjejas oleh kejadian banjir kilat yang berlaku di beberapa lokasi di negeri itu.

Manickam dalam satu kenyataan berkata, bantuan air percuma itu - dicadangkan untuk bil Nov ini - akan dapat memanfaatkan kira-kira 1,000 pemilik akaun.

"Bil mereka untuk Nov akan meningkat kerana terpaksa menggunakan air yang banyak untuk kerja-kerja pembersihan.

"Sehubungan itu, saya mohon jasa baik Sains yang pengerusinya ialah menteri besar untuk memberi air percuma kepada semua penerima bantuan banjir dari kerajaan bagi Nov ini.

"Ini boleh dilakukan dibawah tanggungjawab sosial korporat Sains," katanya.

Manickam berkata banjir yang bermula sejak 4 Nov lalu melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri Ampangan, Rahang, Mambau, Rantau, Linggi, Kota dan kawasan sekitarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Aminuddin Harun dalam satu kenyataan yang dimuat naik dilaman sosial Facebooknya berkata kerajaan negeri dan Menteri Besar Incorporated (MBI) semalam menyalurkan bantuan kewangan RM500 kepada 1,000 isi rumah yang terjejas akibat banjir kilat itu.

"Bantuan berjumlah RM500,000 kepada Adun serta penyelaras DUN bagi kawasan yang terjejas akibat banjir kilat yang berlaku semalam (kelmarin).

"Sebanyak RM300,000 disumbangkan oleh kerajaan Negeri Sembilan manakala RM200,000 disumbangkan oleh MBI.

"Daripada jumlah tersebut setiap keluarga yang terkesan akibat banjir ini bakal menerima RM500 bagi membantu mereka terutamanya dalam masa terdekat ini.

"Semoga bantuan ini dapat meringankan beban yang pditanggung oleh mereka yang terjejas akibat banjir ini, Insya-Allah," katanya.

Bernama sebelum ini melaporkan, 420 orang daripada 84 keluarga dipindahkan setelah rumah mereka ditenggelami banjir.

Antara kawasan petempatan yang terjejas ialah Kampung Datuk Mansor, Taman Happy dan Taman Mok Sum, Kampung Bukit Chedang, Kampung Baru Blok C Ampangan, Kampung Batu 3, Taman Angsa Mas dan Kampung Siliau.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS