Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Naib presiden Putra, peguam mohon celah kes tuntutan Agong tak isytihar darurat

Naib Presiden Putra Mohd Khairul Azam Abdul Aziz dan seorang peguam telah memfailkan permohonan untuk mencelah dalam kes tuntutan di mahkamah terhadap keputusan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk tidak menerima permintaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bagi mengisytiharkan darurat.

Khairul Azam dan Malcolm Fernandez memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Raja Riza & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini.

Semalam, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) turut memfailkan permohonan untuk mencelah dalam kes tuntutan sama menerusi peguam Syed Iskandar Syed Jaffar.

Pada 30 Okt lalu, peguam Syed Iskandar memfailkan tuntutan supaya mahkamah menentukan sama ada Agong mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun perdana menteri menasihatkan sebaliknya.

Pada 25 Okt, dilaporkan Agong tidak menerima permintaan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat atas sebab kerajaan Perikatan Nasional telah berjaya menangani wabak Covid-19 dengan berkesan.

Menurut salinan permohonan mencelah Khairul Azam dan Fernandez, kedua-dua peguam itu berkata sebagai pengamal undang-undang mereka mempunyai hak perlembagaan untuk bertindak demikian.

Kedua-dua peguam itu berkata, sebagai warganegara Malaysia, mereka juga mempunyai kepentingan tulen (genuine interest) terhadap keputusan tindakan itu.

“Pencelah-pencelah (Khairul Azam dan Fernandez) yang dicadangkan adalah merupakan pengamal undang-undang juga mempunyai kepentingan untuk mencelah bagi tujuan menyangkal persepsi rakyat biasa bahawa plaintf (Syed Iskandar) yang juga seorang pengamal undang-undang adalah mewakili pandangan kesemua peguam lain yang munasabah," dakwa mereka.

Khairul Azam dan Fernandez turut menambah sebagai pengamal undang-undang, mereka berhak membantu memberi takrifan terhadap isu-isu perlembagaan dan membantu mahkamah untuk mencapai keputusan yang wajar dalam saman itu.

Mereka turut berkata mempunyai hak untuk menyampaikan keterangan dan hujahan yang melibatkan proses keadilan asasi.

Berdasarkan kenyataan hari ini, Tetutan Raja Riza & Associates berkata Khairul Azam memfailkan permohonan mencelah kerana kes tuntutan mahkamah tersebut jelas mempersoalkan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagaimana termaktub di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 150 menjelaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong terhadap perkara pengisytiharaan darurat.

Firma guaman itu turut menyatakan tindakan Fernandez untuk mencelah dalam kes tuntutan mahkamah itu bagi menyokong keputusan Yang di-Pertuan Agong yang dibuat berlandaskan prinsip perlembagaan dan undang-undang.

“Turut ingin ditegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah merupakan salah satu tonggak yang merangkumi kesemua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama," kata firma itu.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS