Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gaji wakil rakyat Kelantan akan naik hingga RM5,000
Diterbitkan:  Nov 5, 2020 7:25 PM
Dikemaskini: 12:26 PM

Anggota dewan undangan negeri (Adun) dan barisan exco kerajaan negeri Kelantan bakal menikmati kenaikan gaji pokok antara RM3,000 hingga RM5,000 seorang.

Menurut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah, kenaikan itu diperlukan bagi mengurangkan jurang perbezaan gaji antara wakil rakyat Kelantan dan negeri-negeri lain.

Malah katanya, wakil rakyat di Kelantan diibaratkan seperti pegawai kebajikan kerana ramai masyarakat di kawasan memerlukan perhatian dan bantuan mereka.

"Jadi untuk merapatkan perbezaan ini, sekurang-kurangnya beza tak ketara dengan negeri lain, sebab itu ada cadangan supaya kita selaraskan (gaji wakil rakyat).

"Yang kedua, ini saya akan sebut dalam pembentangan memandangkan keadaan semasa semakin berat, kenaikan (gaji) wakil rakyat ini, dia (wang) pergi ke orang ramai juga.

"Sebab wakil rakyat kita di Kelantan peranannya macam pegawai kebajikan," katanya, lapor Astro Awani hari ini.

Terdahulu, kerajaan Kelantan membentangkan Belanjawan 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan belanjawan defisit dianggarkan bernilai RM66.02 juta.

Selain itu, persidangan kali ini juga meluluskan rang undang-undang bertujuan untuk meminda Enakmen (Saraan) Anggota-Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri 1980 bagi membolehkan kenaikan serta penyelarasan gaji.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS