ULASAN | Ketika ini, Malaysia sedang menghadapi gelombang ketiga wabak Covid-19. Beberapa negeri dan daerah telah diarahkan untuk menjalani perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang bertujuan untuk membendung dan memutuskan rantaian jangkitan wabak.
Kecukupan makanan masih menjadi topik yang hangat untuk dibincangkan. Setiap kali pengumuman oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai perintah kawalan pergerakan, dapat dilihat terdapat kenaikan mendadak pembelian bekalan bahan makanan secara tergesa-gesa oleh pengguna-pengguna di Malaysia.
Dari segi ketersediaan dan kecukupan bekalan bahan makanan, dapat dilihat bahawa Malaysia mampu mengawal dan menyediakan bekalan bahan makanan untuk rakyat Malaysia. Ini dibuktikan dengan kemampuan rakyat Malaysia untuk mendapatkan bahan makanan di samping kenyataan kerajaan dan pembekal, bahawa bekalan makanan dijamin mencukupi sepanjang tempoh PKP.
Namun, kecukupan dan kelestarian bekalan bahan makanan dijangkakan terkesan dalam jangka masa panjang. Jumlah pengeluaran hasil pertanian beberapa bulan akan datang bergantung juga kepada dasar dan keadaan pada masa ini. Kemasukan pekerja asing diperketatkan dan arahan PKPB di beberapa kawasan mungkin akan menyebabkan penurunan bekalan bahan makanan tempatan.
Begitu juga pengimportan bekalan bahan makanan negara yang mempunyai kebergantungan yang agak tinggi. Jika dilihat pada statistik, terdapat trend peningkatan kemasukan bekalan bahan makanan dari luar ke Malaysia dari tahun ke tahun yang membawa kepada persoalan kelestarian kecukupan bekalan makanan untuk rakyat Malaysia.
Dengan mengambil kira faktor-faktor ekonomi, wabak, perubahan iklim, politik dan sebagainya, penyelidikan makanan masa hadapan amat diperlukan untuk menjamin kecukupan, kesediaan dan kelestarian bekalan bahan makanan untuk rakyat Malaysia.
Transformasi di dalam penghasilan bekalan makanan melalui inovasi dan teknologi makanan amat penting untuk menjamin kecukupan bekalan makanan bagi segenap lapisan masyarakat di samping mengurangkan impak kepada biodiversiti dan alam sekitar.
Oleh itu, pembangunan teknologi baru dan pencarian sumber makanan yang baru dan lestari adalah amat penting untuk menjamin sistem makanan yang lebih mantap dan mapan untuk jangka masa panjang.
Jika dilihat secara kasar, sumber makanan yang penting sebagai sumber tenaga kepada tubuh manusia adalah karbohidrat, protein dan lemak. Di Malaysia secara umumnya, karbohidrat dibekalkan oleh sumber tumbuhan seperti nasi, protein dari sumber haiwan seperti ayam, ikan, telur dan daging serta lemak dari sumber haiwan dan tumbuhan seperti minyak.
Bercerita mengenai sumber karbohidrat, makanan ruji rakyat Malaysia adalah nasi. Selain itu, sumber karbohidrat yang penting adalah dari makanan yang berasaskan tepung gandum seperti roti dan mi.
Bekalan beras import yang mewakili kurang separuh dari keperluan tempatan negara tidak terjejas, walaupun dunia sedang berhadapan wabak Covid-19. Begitu juga dengan gandum yang diimport sepenuhnya dari negara luar untuk kegunaan tempatan. Meskipun terdapat laporan mengatakan ada negara pembekal enggan membenarkan beras atau gandum mereka dieksport, ia sama sekali tidak menjejaskan stok bekalan tempatan.
Walau bagaimanapun, Malaysia disarankan untuk meningkatkan kapasiti beras negara di samping mempelbagaikan makanan dari sumber tempatan seperti ubi keledek, ubi kayu, ubi ungu, sagu dan sebagainya sebagai sumber karbohidrat. Sumber karbohidrat yang baru juga boleh dicari dari sumber biodiversiti semula jadi untuk kegunaan rakyat Malaysia.
Sebagai contoh, quinoa yang berasal dari Amerika Selatan merupakan sumber karbohidrat yang popular pada masa kini. Quinoa merupakan bijian yang kaya dengan karbohidrat dan protein serta tinggi kandungan vitamin dan mineral. Dalam konteks ini, quinoa mampu menyumbang kepada kecukupan makanan dunia kerana mempunyai kandungan nutrisi yang tinggi, mampu untuk tumbuh dan beradaptasi pada kondisi tanah dan iklim yang pelbagai di samping kos pengeluaran yang rendah.
Sumber protein yang utama di Malaysia adalah ikan dan makanan laut, ayam, daging, telur dan sebagainya. Protein sangat penting untuk tumbesaran manusia. Harga makanan berasaskan protein daripada haiwan (terutamanya daging dan makanan laut) dijangka akan meningkat dari tahun ke tahun.
Selain itu, sumber makanan daripada haiwan juga mempunyai isu yang berkaitan dengan kos pengeluaran yang semakin meningkat, isu etika dan juga kesan secara langsung kepada alam sekitar dan ‘carbon foot print’. Peningkatan harga makanan daripada sumber haiwan ini mendorong penyelidik untuk mencari sumber protein yang baru.
Sebagai contoh, sumber protein daripada tumbuh-tumbuhan boleh dijadikan sebagai sumber alternatif untuk protein. Gabungan makanan daripada pelbagai jenis tumbuhan mampu memberikan sumber protein yang lengkap untuk tubuh manusia. Selain itu, serangga juga telah dikenal pasti mempunyai sumber protein yang tinggi. Alga dan rumpai laut juga dikatakan mempunyai kandungan protein dan nutrien lain yang tinggi. Daging buatan atau ‘lab cultured meat’ juga menjadi salah satu teknologi dan inovasi yang dilihat mampu untuk dijadikan sebagai sumber protein masa hadapan. Bagaimanapun, isu halal dan keselamatan makanan harus diambil kira dan diambil perhatian.
Selain itu, ‘clean food processing’ juga harus diberi keutamaan di dalam industri pembuatan makanan di Malaysia. Teknologi pemprosesan makanan harus mengambil kira faktor alam sekitar di samping penggunaan air, tenaga dan bahan buangan yang minimum.
Penggunaan bahan basah secara total (tanpa ada bahan buangan atau sisa) harus menjadi keutamaan. Bahan yang biasanya dibuang (seperti kulit buah-buahan dan hampas) boleh dipelbagaikan kegunaannya sebagai bahan makanan yang baru. Oleh itu, usaha memperkenalkan inovasi yang terkini dan teknologi yang lestari dan mapan amat penting di dalam bidang ini.
Inovasi dan teknologi pembungkusan makanan juga amat penting untuk memastikan kelestarian industri makanan di Malaysia. Pembungkusan makanan berasaskan plastik (yang tidak boleh diuraikan) harus dielakkan dan digantikan dengan plastik yang boleh diurai. Industri dicadangkan untuk menggunakan plastik yang mesra alam, boleh diurai atau boleh diguna pakai serta menggunakan plastik yang boleh dimakan (edible plastic), sekali gus mengurangkan impak kepada alam sekitar. Pengunaan teknologi nano di samping penggunaan bahan baru yang mesra alam boleh menjamin kelestarian industri makanan di Malaysia.
Kesimpulannya, Malaysia masih mempunyai banyak sumber semula jadi yang masih boleh diterokai untuk menjamin kelestarian dan kecukupan makanan. Penggunaan inovasi dan teknologi terkini mampu untuk membantu menjana industri makanan ke peringkat yang lebih tinggi.
Sinergi di antara beberapa kementerian yang berkaitan, universiti awam dan swasta, institusi penyelidikan, agensi di bawah kementerian dan juga pihak industri sendiri mampu untuk memantapkan sistem makanan di Malaysia.
PROFESOR MADYA DR MOHD FADZELLY ABU BAKAR dari Kluster Pertanian dan Keselamatan Makanan, Akademi Profesor Malaysia (APM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.