Perlumbaan mendapatkan vaksin Covid-19 mendedahkan kemungkinan berlaku pertikaian melibatkan kerajaan di seluruh Asia Tenggara, termasuk Malaysia, dengan China sebagai pengeluar yang disasarkan.
Nikkei Asia dalam laporan yang merangkumi perkembangan di beberapa negara Asia Tenggara menyorot rundingan secara berhati-hati yang dikatakan melibatkan Menteri Luar China Wang Yi dan Wisma Putra.
Permintaan tersebut dikatakan dibuat semasa lawatan Wang Yi ke Malaysia bulan lalu di mana dia dilapor menjanjikan keutamaan China kepada Malaysia dalam mendapatkan vaksin.
Nikkei memetik seorang pegawai Malaysia yang tidak didedahkan mengatakan Wang Yi telah meminta agar 60 warganegara China yang ditahan dalam enam kapal nelayan kerana menceroboh perairan Malaysia dibebaskan beberapa hari sebelum lawatan beliau.
Malaysia mengatakan mereka akan mempertimbangkan permintaan itu, menurut pegawai rasmi berkenaan.
Mengulas penahanan itu, pegawai kementerian luar China pada waktu itu menggesa pihak berkuasa Malaysia menjalankan siasatan yang adil dan melindungi hak warganya.
Wang Yi berada di Malaysia pada 12 Okt dan 13 Okt sebagai sebahagian daripada lawatannya ke lima negara di Asia Tenggara.
Satu kenyataan dari Wisma Putra pada masa itu mengatakan pertemuan Wang Yi dengan Menteri Luar Negeri, Hishammuddin Hussein akan membincangkan status vaksin Covid-19 yang dikeluarkan China, meningkatkan kerjasama ekonomi, kerjasama pasca-wabak dan memperkuat hubungan yang ada dan kerjasama antara kedua-dua negara.
Malaysiakini telah menghubungi Wisma Putra dan Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur untuk mendapatkan komen.
Sementara itu, laporan Nikkei menyatakan China memiliki kelebihan dalam menghasilkan vaksin Covid-19, yang kini berada di kedudukan teratas dengan empat daripada 10 calon vaksin dalam ujian klinikal Tahap 3.
Antara lain, ia mengetengahkan ujian fasa 3 syarikat China, Sinovac di sekurang-kurangnya 15 negara termasuk negara jiran Indonesia yang merekodkan lebih 400,000 kes positif Covid-19 dan 14,146 kematian.
Mengingatkan peranan utama China, kebimbangan ditimbulkan berhubung balasan yang sanggup diberikan negara-negara di Asia Tenggara untuk meningkatkan peluang mereka mendapatkan vaksin.
Evan Laksmana, penyelidik hubungan antarabangsa kanan di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa yang berpusat di Jakarta, dilapor mengatakan apa yang dipertaruhkan bukan hanya timbal balik jangka pendek dengan Beijing, tetapi kebergantungan jangka panjang.
"Saya rasa Covid telah menjadikan titik [pergantungan kepada China] lebih jelas - bahawa bukan hanya ekonomi dan perdagangan, tetapi juga rantaian bekalan perubatan.
"India, Jepun dan Australia telah mulai memikirkan lebih serius tentang cara memutuskan keterikatan dengan China. Tetapi saya rasa itu bukan pilihan yang realistik bagi kebanyakan orang di Asia Tenggara," katanya seperti dipetik oleh Nikkei.
Bulan lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata petugas barisan hadapan akan diberi keutamaan sebaik sahaja vaksin yang ada tersedia.
Khairy juga mencadangkan agar peruntukan hingga RM3 bilion dimasukkan dalam Belanjawan 2021 - yang akan dibentangkan pada Jumaat ini - sebagai peruntukan untuk membeli vaksin.