Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pelaburan emas tak wujud, pesara rugi lebih RM1 juta

Seorang pesara swasta kerugian lebih RM1 juta (RM1,177,950) selepas lelaki warga emas itu ditipu dalam pelaburan emas yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Osman Mamat berkata lelaki berusia 60 tahun itu mendakwa berurusan dengan seorang wanita warga Singapura yang dikenali menerusi aplikasi janji temu dalam talian, OkCupid, dan menawarkan pelaburan emas yang dikenali sebagai Alpha Tradex.

Dia berkata mangsa telah memasukkan wang secara berperingkat ke dalam lapan akaun yang diberikan oleh suspek bagi tujuan pelaburan emas berkenaan.

“Hasil pelaburan yang ditawarkan oleh suspek kononnya boleh mendapat keuntungan mencecah AS$2,712,477.41 (RM11,278,353.54).

"Pengadu ingin menunaikan wang keuntungan tersebut dan telah diberikan satu resit transaksi kemasukan wang ke dalam akaun pengadu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Osman berkata mangsa kemudiannya membuat semakan namun mendapati tiada wang dimasukkan ke dalam akaunnya sebelum membuat semakan di Ambank dan mendapati resit transaksi yang ditunjukkan oleh suspek adalah palsu.

Katanya, mangsa telah membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS