Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembangkang minta 3 perkara untuk perjanjian 'keyakinan dan perbekalan'
Diterbitkan:  Nov 4, 2020 10:16 AM
Dikemaskini: 2:16 AM

Anggota Parlimen Seremban, Anthony Loke menyenarai tiga tuntutan anggota parlimen pembangkang daripada kerajaan sebelum kedua-dua pihak menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan.

"Pertama, kita nak memperkasakan sistem parlimen supaya ia berfungsi dengan lebih baik. Contohnya MP pembangkang perlu dilantik ke dalam jawatankuasa terpilih.

"Kedua, kita nak kerajaan dengar dan runding kita dalam bajet ikut undang-undang. Kita harap apa-apa yang dilakukan oleh kerajaan, ada satu konsultansi yang lebih aktif.

"Ketiga, kita perlukan satu reform. Sekian lama di bawah BN, hak MP pembangkng nak dapat peruntukan dinafikan.

"Sepatutnya semua kawasan perlu dapat peruntukan yang sama dari pihak kerajaan," katanya dalam wawancara yang disiarkan di Facebook semalam.

Wawancara bertajuk "Konsensus Nasional untuk Malaysia" yang dimudahcara oleh Syahredzan Johan itu disiarkan di laman Facebook DAP.

Untuk rekod, Loke pada 29 Oktober mencadangkan konsep perjanjian Keyakinan dan Perbekalan dalam satu kenyataan.

Menurut Loke, perjanjian itu merujuk kepada perjanjian rasmi yang disepakati oleh kedua-dua parti kerajaan dan pembangkang tanpa pembentukan gabungan rasmi.

Menurutnya perkara itu biasa dilakukan di negara-negara Komanwel ketika parti kerajaan tidak memiliki kerusi majoriti atau kedudukannya di parlimen tidak stabil.

Sebelum itu, Bersih 2.0 juga mencadangkan perjanjian keyakinan dan perbekalan.

Ketika ditanya apakah permintaan untuk mendapatkan peruntukan itu serupa dengan menerima 'dedak' (ganjaran) dari kerajaan, Loke menyangkal dakwaan itu.

"Ini bukan soal dedak atau rasuah. Tapi peruntukan tu digunakan untuk rakyat. Dia bukan masuk akaun saya. Ia masuk akaun pusat khidmat. Jadi ia adalah untuk rakyat," katanya.

Bukan masa untuk bercakaran

Ketika ditanya apakah langkah menyokong perjanjian itu seolah-olah menerima pengkhianatan akibat Langkah Sheraton, Loke berkata sekarang bukan masa untuk bercakaran.

"Tidak. Kita terima itu sebagai sejarah yang berlaku yang tak boleh dinafikan bahawa memang berlaku pembelotan.

"Tapi untuk kita terus bercakaran pada ketika ini bukan masanya.

"Saya rasa perkara itu perlu diselesaikan dalam pilihan raya. Tapi sekarang bukannya masa untuk pilihan raya. Dalam perang fizikal pun, ada gencatan senjata," katanya.

Loke menambah terdapat ura-ura bahawa kerajaan bersedia menerima perjanjian tersebut.

"Kita belum ada mesyuarat rasmi lagi tapi memang ada ura-uralah. Saya baca dalam media bahawa PM ada sebut ni dalam mesyuarat pre council mereka," katanya.

Kerajaan Perikatan Nasional dilihat tidak stabil memandangkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hanya mempunyai sokongan 113 anggota Parlimen.

Dia bagaimanapun gagal mendapatkan perkenan Agong untuk mengisytiharkan darurat atas alasan bagi menangani wabak Covid-19.

Seri Paduka sebaliknya meminta anggota parlimen agar menghentikan politiking yang boleh menggugat kestabilan kerajaan dan menasihati mereka untuk menyokong Belanjawan 2021.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS