Walaupun tidak lagi bersama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik berkata rasa hormat dan kasihnya kepada Dr Mahathir Mohamad - pengasas parti itu - tetap tidak pudar.
Dia juga berharap agar hubungannya dengan bekas perdana menteri itu terus baik walau tidak lagi dalam wadah politik yang sama.
"Ketidaksetujuan saya dalam hala tuju politik ke hadapan tidak pernah mengurangkan rasa hormat dan kagum saya pada sosok besar negara ini
"Jatuh bangun negara, dari padang pasir yang tandus sehingga tersergam menara berkembar tertinggi di dunia, sosok ini ada, memerhati dan merakam cermat sejarah jatuh-bangun anak bangsa.
"Meskipun wadah dan fahaman politik kita berbeza, sentiasa ada sosok yang layak kita tumpahkan hormat kerana jasa besar mereka buat kita, buat negara, teramatlah banyak," katanya dalam satu hantaran Facebook semalam.
Pada 2 November lalu, Maszlee yang juga anggota Parlimen Simpang Renggam mengumumkan penarikan dirinya daripada jawatankuasa penaja Pejuang.
Ia selepas namanya tidak tersenarai dalam kenyataan media yang dikeluarkan Pejuang.
Dia dijangka tidak menyertai mana-mana parti dalam masa terdekat sebaliknya difahamkan akan bergerak melalui NGO untuk kerja-kerja kebajikan di kawasan Parlimennya.
Maszlee juga menyuarakan penghargaan kepada Mahathir keranan memberi kepercayaan untuk memegang portfolio pendidikan selama 20 bulan, yang menurutnya telah menguatkan tekad untuk meneruskan perjuangan dalam soal itu.
"20 bulan cukup membuka mata dan kesedaran saya...bahawa perjuangan pendidikan adalah satu kefardhuan. Fardhu ini tidak boleh berhenti, walau siapa pun saya, dan di mana pun saya berada.
"Perjuangan baru saya sudahpun bermula. Tumpuan hakiki saya selain Simpang Renggam tentunya memulakan gerakan perubahan pendidikan berskala besar yang memungkinkan sesiapa sahaja untuk membuat perubahan.
"Kerana saya percaya masa depan negara bergantung kepada pendidikan negara. Rosak pendidikan, rosaklah masa depan," katanya lagi.