Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menjangkakan permohonan bantuan kebajikan meningkat sebanyak tiga kali ganda kepada 1.5 juta susulan penetapan baru had Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) nasional sejak Julai lepas.
Menterinya, Rina Harun berkata pada masa ini, had PGK nasional baru adalah RM2,208 berbanding RM980 yang telah diguna pakai sejak tahun 2005.
Dia berkata penetapan had itu berdasarkan pengiraan yang dibuat mengikut metodologi pada 2019 yang melihat kepada realiti rakyat pada masa kini.
“Kadar kemiskinan negara meningkat kepada 5.6 peratus, inilah realiti rakyat kita sekarang. Kita (kerajaan) ambil kira dari segi aspek kehidupan dan pemakanan mereka (rakyat), memang saya (kementerian) menjangkakan lebih ramai lagi yang layak untuk memohon di bawah program-program bantuan kementerian.
“Setakat ini, hampir 400,000 penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, itu diambil kira daripada garis PGK RM980 sebelum ini,” katanya.
Dia berkata demikian dalam rancangan ‘Temu Minda: Kebajikan Rakyat Dalam Cabaran Covid-19’ yang disiarkan secara langsung dalam laman Facebook Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menjadi hos rancangan itu.
Sementara itu, Rina berkata dalam tempoh pandemik Covid-19 kini, ramai yang terjejas dari segi pendapatan, justeru KPWKM menyediakan kursus secara dalam talian untuk membantu rakyat yang ingin menjana pendapatan melalui perniagaan.
“Alhamdulillah…apabila mereka ubah cara perniagaan daripada konvensional atau biasa kepada dalam talian menampakkan perubahan, sekarang ramai yang duduk di rumah, jadi membeli di hujung jari, ini mendatangkan pendapatan kepada mereka (peniaga dalam talian),” katanya.
Rina berkata mulai bulan ini, KPWKM turut mengadakan program ‘Zero to Million’ untuk membimbing golongan wanita terutamanya ibu tunggal yang ingin memulakan perniagaan.
“Kementerian mengambil inisiatif ini untuk membantu dan menjangkakan 100,000 wanita akan menyertainya (program Zero to Million),” katanya.
Sementara itu, Pakar Pengurusan Pelaburan dan Kewangan Dalam Pembangunan Wanita Jamelah Jamaluddin mencadangkan agar diwujudkan Bank Pembangunan Wanita bagi membantu golongan berkenaan memulakan perniagaan.
“Justeru, KPWKM memainkan peranan penting untuk memberi bimbingan dan latihan kepada kaum wanita yang mahu berniaga agar mereka tidak teragak-agak membuat pinjaman untuk memulakan perniagaan,” katanya.
-Bernama