Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKPB di Seremban bermula Khamis ini
Diterbitkan:  Nov 3, 2020 5:34 PM
Dikemaskini: 10:24 AM

Daerah Seremban di Negeri Sembilan akan diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) antara 5 Nov hingga 18 Nov untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Perkara itu diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini. 

PKPB mengehadkan waktu perniagaan, penutupan perniagaan tidak penting, sekolah dan rumah ibadat.

"Pelaksanaan PKPB ini meliputi sembilan mukim iaitu Ampangan, Seremban, Bandar Seremban, Labu, Rantau, Rasah, Setul, Pantai dan Lenggeng.

"Prosedur operasi standard (SOP) adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini," kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob pada sidang medianya di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, MKN sedar ramai individu yang tinggal di Seremban tetapi bekerja di Lembah Klang.

Namun, Katanya, mereka masih boleh pergi bekerja selagi memperoleh dokumen yang diperlukan dari tempat kerja mereka dan kebenaran dari pihak polis.

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Putra Point Nilai kekal seperti mana diumumkan sebelum ini.

Menurut Kementerian Kesihatan, Negeri Sembilan merekodkan 433 kes Covid-19 baru dalam tempoh 14 hari lalu.

Sebilangan besar kes aktif di negeri ini dilaporkan berlaku di mukim Labu dan Ampangan.

Seperti PKPB di kawasan lain, Ismail Sabri memberi jaminan bahawa kebanyakan perniagaan, pengangkutan awam,  kedai makan dan kedai runcit akan dibenarkan dibuka seperti biasa.

Bagaimanapun waktu operasi bagi perkhidmatan tertentu mungkin dipendekkan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS