Mohd Amin Yasin, 42, bekas suami usahawan kosmetik Hasmiza Othman, membuat tuntutan hadhanah di Mahkamah Syariah Kota Bharu, hari ini.
Mohd Amin yang juga seorang peniaga diwakili peguamnya, Mohd Zaki Zainal Abidin dan Nik Mohamad Amin Nik Abdullah memfailkan tuntutan hadhanah (hak lawatan, bermesra dan bermalam) bersama anak-anak.
Pada prosiding berkenaan, Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Abu Bakar Abdullah Kutty menetapkan 25 November ini untuk sebutan semula kes.
Menurutnya, mahkamah tidak akan membuat sebarang keputusan hari ini sehingga mendengar dan prosiding dihadiri kedua-dua belah pihak.
Mohd Amin berkahwin dengan Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida pada tahun 2000 dan bercerai pada 2008.
Mereka dikurniakan empat cahaya mata, namun anak pertama dan kedua mereka meninggal dunia dalam kejadian kebakaran rumah pada 3 Ogos 2013.
Ketika ditemui media, Mohd Amin berkata dia terlalu merindui anaknya Nur Edlynn Zamilleen, 15, dan Eric Zaquan, 13, sekali gus berharap hubungan antara mereka kembali terjalin dengan lebih baik.
"Kali terakhir saya jumpa anak pada Mei 2018, selepas itu tidak pernah sama sekali sehingga hari ini. Saya teramat rindukan anak-anak.
"Saya ada cuba menghubungi Cik B (Nur Edlynn) dan Kacak (Eric Zaquan) melalui panggilan telefon, tetapi orang lain yang jawab dengan pelbagai alasan dan sehingga membuatkan saya kecewa dan terasa hati.
"Saya merasakan anak-anak seperti dikawal supaya tidak berhubung dengan saya," katanya dengan nada sebak ketika ditemui media, hari ini.