Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa pembangkang minta dalam Belanjawan 2021
Diterbitkan:  Nov 2, 2020 6:00 PM
Dikemaskini: 4:55 PM

Ketika pembentangan Belanjawan 2021 semakin hampir, beberapa parti pembangkang menyatakan apa yang ingin mereka lihat dalam Belanjawan 2021 ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kini bergantung kepada sokongan mereka.

Muhyiddin sebelum ini berusaha mendapatkan sokongan bipartisan bagi meluluskan Belanjawan 2021, yang akan dibentangkan di parlimen pada 6 Nov.

Berikut adalah ringkasan mengenai apa yang diminta parti pembangkang.

Lanjutan moratorium pinjaman

Pakatan Harapan (PH) meminta lanjutan program moratorium pinjaman sehingga 31 Mac tahun depan. 

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menganggarkan langkah ini akan menelan belanja kerajaan sebanyak RM6.4 bilion.

Parti Muda juga mahu moratorium pinjaman bank dilanjutkan sehingga Jun 2021.

Moratorium atau penangguhan bayaran tersebut sebelum ini dilaksanakan selama enam bulan dari 1 April hingga 30 Sept lalu.

Selepas itu, kerajaan memperkenalkan moratorium pinjaman secara bersasar dengan tumpuan kepada mereka yang kehilangan kerja, manakala individu dan perniagaan yang dapat membuktikan pengurangan pendapatan dibenarkan berunding semula syarat pinjaman mereka dengan pihak bank.

Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) sebelum ini berpendapat skim ini masih tidak memadai kerana ada keluarga yang mempunyai dua pencari nafkah, di mana salah seorang dari pasangan yang kehilangan pekerjaan tidak semestinya merupakan orang yang membuat pinjaman.

Pemimpin PKR dan DAP berpendapat bank tidak akan terjejas teruk dengan lanjutan moratorium pinjaman.

Pekerja 

PH dan Muda mendesak skim subsidi gaji oleh kerajaan diteruskan. PH mahukan tarikh akhir program itu pada 31 Mac tahun depan sementara Muda meminta dilanjutkan sehingga Jun.

PH mencadangkan agar insentif "Malaysia @ Work" yang diperkenalkan mereka sebelum ini agar majikan mengambil pekerja tempatan perlu diperluas. 

Skim ini seharusnya bermula pada suku kedua tahun ini, namun belum dimulakan oleh kerajaan sekarang.

Selain itu, PKR ingin melihat peluang pekerjaan di sektor teknologi hijau dan insentif diberi kepada beberapa sektor yang menyaksikan pertumbuhan pesat, seperti industri pembuatan sarung tangan untuk mengambil lebih banyak pekerja tempatan.

Muda mencadangkan agar lebih banyak geran diberikan untuk meningkatkan dan melatih golongan penganggur, dengan fokus kepada industri tenaga boleh diperbaharui. 

Muda juga mencadangkan geran tambahan dan pelepasan cukai untuk syarikat yang menggajikan pekerja tempatan atau graduan baru serta syarikat yang berusaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Kebajikan

PH mencadangkan bantuan sebanyak RM1,000 diberikan kepada mereka yang memerlukan sehingga krisis Covid-19 berakhir dan meningkatkan jumlah pendaftaran untuk skim E-Kasih dan Sistem Insuran Pekerja (SIP).

Mereka juga meminta dana tambahan untuk menangani kes keganasan rumah tangga, penyakit mental, pengabaian orang tua dan menangani kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak.

Muda meminta bonus dua bulan untuk semua petugas barisan hadapan - pekerja kesihatan, polis dan tentera - sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka dalam memerangi Covid-19.

Pelaburan

PH meminta peruntukan untuk mengembangkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan memperbaiki infrastruktur kemudahan bekalan air di Selangor, Kelantan dan Pahang.

Muda mahukan dana diperuntukkan untuk menarik pelaburan dalam tenaga lestari yang menurutnya akan membantu mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan menangani perubahan iklim.

Pendidikan

PH berkata, peruntukan untuk pendidikan mesti ditambah untuk meningkatkan e-pembelajaran dan merancang kurikulum bagi pembelajaran di rumah.

Dana itu juga mesti meliputi peningkatan jumlah guru dan kelas di sekolah untuk memenuhi keperluan penjarakan fizikal.

Muda mengesyorkan skim "1 keluarga, 1 komputer riba" yang melibatkan komputer percuma dan elaun RM1,000 untuk setiap keluarga untuk tujuan e-pembelajaran.

Parti ini juga mencadangkan agar setiap pelajar universiti dibayar RM50 setiap bulan untuk tujuan e-pembelajaran dalam jangka masa 6 bulan

Kesihatan

PH berharap lebih banyak peruntukan untuk Kementerian Kesihatan bagi memperoleh vaksin, mengenal pasti kumpulan berisiko dan memberikan pembayaran yang setimpal untuk barisan depan.

Dana itu juga harus digunakan untuk meningkatkan jumlah kakitangan sementara untuk menangani krisis Covid-19 di Sabah. Demokrasi

Muda mencadangkan agar semua anggota parlimen - sama ada pembangkang atau kerajaan- diberikan jumlah peruntukan yang sama untuk mengagihkan bantuan kerajaan ke kawasan mereka.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS