Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Speaker tegur Adun pembangkang tak ikut kod pakaian
Diterbitkan:  Nov 2, 2020 2:36 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

DUN SELANGOR | Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim menegur lima Adun pembangkang kerana tidak mematuhi kod pemakaian ketika sidang DUN hari ini.

Lima Adun itu - Mohd Shamsudin Lias (Sungai Burong), Zakaria Hanafi (Semenyih), Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang), Rizam Ismail (Sungai Air Tawar), dan Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) - ditegur kerana memakai baju Melayu.

Menurut BH Online, Ng menasihat mereka dan menjelaskan Adun perlu memakai sut lounge ketika sidang dan baju kebangsaan dibenarkan pada hari Jumaat.

“Pagi ini, saya nampak dalam dewan yang mulia ini, Adun melanggar peraturan yang sudah saya tetapkan. Perkara sama, saya tegaskan kepada Adun Templer (dari PH) sebelum ini.

“Kelonggaran saya berikan pada hari Jumaat iaitu Adun boleh memakai pakaian kebangsaan (baju Melayu).

"Hari ini saya berikan teguran dan esok sila ikut peraturan yang ditetapkan supaya rakyat melihat kita sebagai pemimpin yang berdisiplin," kata Ng seperti dipetik.

Menurut portal Free Malaysia Today, Shamsudin menyuarakan bantahan dan mempersoalkan Lim mengenai sebarang undang-undang dalam peraturan mesyuarat mengenai kod pakaian.

“Saya rasa kami mematuhi peraturan. Juga, orang ramai akan gembira jika memakai baju Melayu,” kata Shamsuddin.

Ng menyatakan bahawa dia telah diberikan kuasa untuk membuat keputusan berhubung kod pakaian di bawah Peraturan Mesyuarat 87(7) dan enggan melanjutkan hal tersebut.

Dia juga berkata mahu semua Adun berpakaian kemas sut lounge esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS