Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
APM: Pengeluaran akaun 1 KWSP boleh dibuat secara bersyarat
Diterbitkan:  Nov 2, 2020 1:26 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

Cadangan agar kerajaan membenarkan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat boleh dilaksanakan, namun secara bersyarat bagi mengelak menyalahgunaan, kata Akademi Profesor Malaysia (APM).

Presidennya, Prof Dr Daeng Nasir Daeng Ibrahim berkata, secara prinsip, suasana luar biasa yang dihadapi akibat pandemik Covid-19 memerlukan juga cara mitigasi yang luar biasa, termasuklah membenarkan pengeluaran akaun 1 KWSP.

Namun jelasnya, dalam mendepani desakan berkenaan, APM berpandangan sangat penting pihak kerajaan mengambil pendekatan yang seimbang antara keperluan pelaburan jangka panjang dari dana persaraan, kecukupan kecairan untuk komitmen pembayaran semasa, kuantum pengeluaran baru yang mendesak akibat pandemik Covid-19, serta tidak kurang pentingnya implikasi terhadap kesejahteraan ekonomi pencarum pada hari persaraan mereka.

"APM berpandangan jalan tengah yang boleh diambil KWSP ialah untuk mewujudkan mekanisme yang tidak rentan kepada penyalahgunaan. Ini bermakna kebenaran boleh diberikan secara bersyarat, bukan secara 'one-off' begitu sahaja.

"Sebagai contoh, bagi kes pinjaman gadai janji, ia boleh diberikan kepada pencarum yang menunjukkan bukti aset cagaran sangat mungkin akan dilelong oleh pihak Bank jika pinjaman gagal dilunasi, serta juga bukti cara-cara penyelesaian alternatif telah menemui jalan buntu," katanya dalam kenyataan media kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, terdapat beberapa pihak mencadangkan supaya kerajaan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan sejumlah wang daripada akaun 1.

Bagaimanapun Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini menegaskan perkara itu sukar untuk dilaksanakan.

Sementara itu Dr Daeng Nasir berkata, sejajar pandangan itu pihak KWSP juga perlu membuat pembayaran secara langsung kepada institusi kewangan yang berkenaan.

Jelasnya, disebabkan kebenaran mengeluarkan akaun 1 ini memberikan impak besar ke atas wang simpanan selepas persaraan, para pencarum dinasihati mengambil sikap berhati-hati dan berhemah, serta mempertimbangkan implikasi terhadap diri dan keluarga semasa persaraan kelak.

"Meskipun APM menyokong pengeluaran akaun 1 berdasarkan beberapa pertimbangan di atas, kebenaran ini perlu dilihat sebagai pilihan terakhir yang boleh dilakukan pihak kerajaan.

"Pada pandangan APM juga, masih terdapat ruang untuk pihak bank melanjutkan moratorium pinjaman bersasar sehingga suku pertama atau kedua 2021. Aspek ini wajar dipertimbangkan dalam penyediaan Bajet 2021," katanya.

Sehubungan itu tambahnya, antara langkah yang lebih mampan yang boleh dilaksanakan kerajaan termasuklah mewujudkan Dana Jaringan Keselamatan Sosial yang akan menyalurkan pelbagai bantuan, sama ada tunai atau bukan tunai kepada golongan yang rentan terhadap krisis ekonomi.

"Sebagai tambahan, pendekatan nyah pusat khususnya ekonomi berasaskan komuniti setempat perlu diperkasakan dengan amalan-amalan terbaik atau rangsangan tertentu. Ini merangkum pendekatan zakat, infak atau hibah, koperasi, tolong-menolong, dan juga dana-dana dari aset wakaf.

"Seiring dengan ini, institusi masjid atau surau disarankan membangun pangkalan data untuk mengenal pasti permasalahan-permasalahan kesejahteraan mikro atau kecederaan ekonomi yang dialami ahli-ahli kariah masing-masing," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS