mk-logo
Berita
Bayi perempuan dalam beg ditinggal atas peti surat
Diterbitkan:  Nov 1, 2020 10:07 PM
Dikemaskini: 2:57 PM

Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan di atas peti surat di blok 47 Flat Paya Terubong 4, Paya Terubong di George Town hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata bayi perempuan itu ditemukan oleh seorang penduduk kawasan itu di dalam sebuah beg galas warna biru gelap yang diletakkan di atas peti surat blok berkenaan pada kira-kira pukul 12.40 tengah hari.

"Bayi perempuan masih hidup itu dibalut dengan tuala warna putih dan pemeriksaan mendapati tali pusat bayi telah dipotong, namun tiada dokumen lain dijumpai di dalam beg itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal pihak pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mendapati bayi itu tidak mengalami sebarang kecederaan, dan bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut.

Menurutnya polis sedang berusaha mengesan pihak yang membuang bayi itu dan beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian agar menghubungi polis bagi membantu siasatan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS