Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sebaiknya buat pilihan raya lepas Covid-19 reda, kata menteri

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berpandangan sebaiknya sebarang pilihan raya diadakan selepas penularan pandemik Covid-19 di negara ini berakhir.

Ini katanya bagi memastikan penyertaan sepenuhnya rakyat yang sekarang ini terikat dengan kawalan pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP).

“Kita nak pilihan raya itu bebas dan adil dan seterbuka yang mungkin. Itu hasrat demokrasi, tapi kalau banyak sangat SOP dan banyak sangat kawalan, masihkah demokrasi itu terpelihara dalam konteks pilihan raya yang terkawal,” katanya dalam Temu Bual Khas bersama Buletin Awani hari ini.

Sehubungan itu, dia berkata langkah terbaik buat masa ini ialah “ditiadakan” pilihan raya.

“Bukan nak mengelakkan pilihan raya tetapi menangguhkannya. Mungkin satu caranya ialah mengisytiharkan darurat di kawasan tersebut, tetapi bukan untuk politik… untuk memastikan rakyat boleh berpatisipasi (turut serta) sepenuhnya dan sebaik-baiknya dalam proses pilihan raya,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai persediaan yang perlu dilakukan oleh kerajaan bagi menghadapi pilihan raya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengadakan Pilihan Raya Kecil Batu Sapi di Sabah pada 5 Dis ini. Selain itu, Sarawak juga bakal mengadakan pilihan raya negeri apabila penggal semasa Dewan Undangan Negerinya tamat pada 7 jun 2021.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS