Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Belanjawan 2021 lulus jika PM ada kejujuran politik'
Diterbitkan:  Nov 1, 2020 3:52 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

anda tanya mengenai nasib Belanjawan 2021 di tangan semua ahli parlimen akan terjawab dengan mudah jika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai "kejujuran politik" kata Dr Mohd Puad Zarkashi.

Menurut ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu Muhyiddin tidak perlu berdolak-dalik sebelum belanjawan tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat Jumaat depan.

Malah kata Mohd Puad semalam juga - dalam perutusan khas perdana menteri - Muhyiddin sendiri merayu agar semua pihak mengetepikan perbezaan politik dan mengutamakan rakyat.

"Muhyiddin tidak perlu berdolak dalik. Kalau ada 'kejujuran politik' pasti ia akan diluluskan. Bola di tangan Muhyiddin.

"Justeru menjadi tanggungjawab Muhyiddin menerima pandangan semua pihak termasuk pembangkang.

"Jika perlu dipinda (belanjawan itu), kena pinda. Ia menuntut kejujuran politik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, perdana menteri mengajak semua pihak menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 Nov ini.

Dalam perutusan khas situasi semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisyen itu, ahli parlimen Pagih itu berkata belanjawan itu akan menyediakan pelbagai peruntukan kepada agensi kerajaan, bantuan kepada rakyat jelata dan insentif kepada sektor korporat, industri dan perniagaan untuk memulihkan ekonomi negara.

Umno jadi sasaran

"Saya berharap, semua ahli parlimen dapat mengetepikan perbezaan politik untuk memastikan Bajet 2021 diluluskan demi kepentingan rakyat dan negara.

"Marilah kita letakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain.

"Satu bentuk persefahaman boleh dirangka dalam kalangan ahli-ahli parlimen untuk membolehkan Bajet 2021 diluluskan dengan sokongan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang," kata Muhyiddin.

Ahi parlimen pembangkang sebelum ini menggesa Muhyiddin agar mengadakan perbincangan dengan pembangkang berhubung Belanjawan 2021.

Antaranya, veteran DAP Lim Kit Siang yang menyarankan perjanjian "keyakinan dan pembekalan" (confidence-and-supply).

Sementara itu Mohd Puad berkata Umno mengadakan mesyuarat MT sebanyak dua kali pada minggu ini berhubung isu kejujuran politik kerajaan.

Katanya, ada pihak mempersoalkan kenyataan terbaru Muhyiddin kerana baru sekarang cuba merasionalkan kenapa darurat perlu.

"Apakah perlu darurat untuk mengelak PRN Sarawak dan PRK Batu Sapi?

"Kalau ada kejujuran politik sudah tentu menteri-menteri Umno tidak dibelasah dalam Zoom cabinet meeting Rabu lalu.

"Umno jadi sasaran kerana menteri Umno menyokong keputusan (Agong) menolak pengisytiharan darurat. Kononnya menteri Umno tidak mengamalkan collective responsibility (tanggungjawab bersama)," kata Mohd Puad lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS