Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Belanjawan 2021 libatkan peruntukan lebih besar - menteri
Diterbitkan:  Nov 1, 2020 2:56 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Peruntukan untuk Belanjawan 2021 akan lebih besar berbanding belanjawan sebelumnya, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Dia berkata, ia selaras dengan kaedah yang telah terbukti dalam pemulihan selepas krisis kewangan.

"Segelintir rakyat berkata kami membelanjakan tidak cukup, ada juga yang kata kita banyak berbelanja.

"Tetapi bagi saya kita perlu masa. Kalau kita tengok tahun 2008 dan 2009, di negara-negara maju di Eropah, cara mereka keluar daripada krisis kewangan global adalah dengan berbelanja.

"Negara yang tidak berbelanja akan mengambil masa yang lama untuk pulih. Oleh itu, pada masa sukar kita perlu berbelanja dan membantu," katanya dalam wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan hari ini.

Pada masa sama, Zafrul berkata persedian juga perlu dibuat terhadap kemungkinan gelombang baru penularan Covid-19.

Belanjawan 2021 dijadual dibentang di Dewan Rakyat Jumaat ini dan usaha telah dibuat untuk sokongan rentas parti terhadapnya.

Menurut Zafrul lagi, perbelanjaan pembangunan seperti projek membina hospital tidak akan dikurangkan.

"Katakan untuk membina hospital atau apa-apa projek pembinaan, ia sangat bagus kerana ia memberikan peluang pekerjaan serta limpahan ekonomi yang besar. Kita perlu lebih berbelanja tetapi kena kurangkan pembaziran," katanya.

Sementara itu, dia juga menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memainkan peranan lebih besar dalam pemulihan ekonomi.

"Kerajaan akan lakukan apa yang boleh tetapi GLC dan GLIC juga perlu bantu untuk menghidupkan semula ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan sebagainya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS