Hospital Miri di Sarawak menunda semua pembedahan bukan kecemasan ekoran peningkatan kes Covid-19 di daerah itu.
Miri kini mempunyai 13 kes aktif, dengan 5 jangkitan baru dilaporkan sejak lima hari lepas.
Dalam kenyataan semalam, hospital itu juga memaklumkan satu wad umum telah dijadikan wad khas Covid-19.
Bagaimanapun semua pembedahan kecemasan masih dilakukan seperti biasa, dan pesakit yang mempunyai temu janji di klinik pakar akan dimaklumkan berhubung pertukaran tarikh dan masa temu janji.
Golongan berisiko tinggi dijangkiti wabak Covid-19 - iaitu warga emas, penghidap penyakit kronik, wanita hamil dan kanak-kanak bawah 12 tahun - dilarang memasuki hospital melainkan untuk kes kecemasan.
Waktu melawat juga dikurangkan dari pukul 12.30 tengah hari hingga dua petang, kepada dari lima petang hingga tujuh petang.
Sementara itu, Hospital Miri turut mengesahkan bahawa salah seorang petugas kesihatan di Miri yang disahkan positif pada Jumaat lepas, bekerja di hospital itu.
Justeru itu, Hospital Miri telah mengasingkan petugas berkenaan dan memulakan pengesanan kontak rapat dalam kalangan petugas hospital.
Kawasan yang terlibat dalam kes itu turut dikenal pasti dan kerja nyahkuman telah dibuat.