Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyatakan kebimbangannya Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi dan Pilihan Raya Negeri Sarawak akan memburukkan lagi krisis Covid-19 negara.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri Sarawak sudah menetapkan pilihan raya mesti diadakan sekiranya kerusi kosong atau jika DUN dibubarkan.
"Saya sebutkan begini kerana ini bukan perkara main-main. Ini perkara serius. Kerana itu, kalau saudara dan saudari tanya saya, pilihan raya sepatutnya tidak diadakan langsung pada masa ini.
"Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya.
"Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, boleh lah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya ini sehingga Covid-19 berakhir.
"Jika pilihan raya tidak dapat ditangguhkan atas apa-apa sebab sekalipun, rayuan saya kepada kepada penduduk di Batu Sapi dan Sarawak berhati-hati lah. Jagalah diri saudara dan saudari semua.
"Patuhi SOP dengan penuh berdisiplin apabila pilihan raya diadakan," katanya pada perutusan khas yang disiarkan secara langsung di televisyen hari ini.
Ucapan itu dibuat seminggu selepas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah menolak cadangan kerajaan untuk pengisytiharan darurat.
Pada 25 Okt lalu, Sultan Abdullah bertitah tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat di Malaysia buat masa ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata baginda berpendapat kerajaan sekarang boleh dipercayai untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung Covid-19.
PRK Batu Sapi bakal diadakan susulan kematian penyandangnya Liew Vui Kong pada 2 Oktober lalu
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Batu Sapi pada 5 Dis, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 23 Nov dan pengundian awal pada 1 Dis.
Mandat kerajaan negeri Sarawak akan berakhir pada Jun 2021. Pilihan raya negeri seharusnya diadakan dalam tempoh 60 hari setelah pembubaran DUN.
Dalam pada itu, Muhyiddin merayu orang ramai supaya terus menjaga keselamatan dan mematuhi standard prosedur operasi (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.
"Saya merayu kepada saudara dan saudari sekalian, jagalah diri masing-masing, ahli keluarga dan orang di sekeling kita dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Kasihanilah para frontliners (petugas barisan depan) kita yang terpaksa bekerja siang dan malam bersabung nyawa untuk memerangi wabak ini dan melindungi kita semua," katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Muhyiddin menyeru semua ahli parlimen menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan 11 Nov ini.
Cadangan darurat sebelum ini digambarkan sebagai usaha kerajaan mengekang Covid-19. Bagaiamanapun, pengkritik Muhyiddin menyifatkan ia sebagai usaha presiden Bersatu itu mengekalkan kedudukan sebagai perdana menteri.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.