Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ROS: Permohonan daftar Pejuang belum selesai
Diterbitkan:  Oct 30, 2020 4:08 PM
Dikemaskini: Nov 1, 2020 3:32 AM

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memaklumkan bahawa permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih dalam penelitian dan semakan.

Menurut ROS dalam satu kenyataan hari ini, berdasarkan semakan permohonan pendaftaran dalam sistem eROSES dan rekod jabatan sehingga semalam, mendapati permohonan pendaftaran parti itu belum diselesaikan sepenuhnya.

Sehubungan itu, pihak jawatankuasa penaja Pejuang diingatkan untuk berhubung terus dengan ROS bagi menyelesaikan urusan permohonan pendaftaran tersebut.

"Jawatankuasa penaja telah dimaklumkan mengenai keperluan pendaftaran yang lengkap melalui sistem sebelum pertimbangan sewajarnya dilakukan," menurut kenyataan itu.

Berikutan itu, ROS menegaskan agar pihak jawatankuasa penaja Pejuang untuk tidak menggunakan logo, lambang serta simbol sehingga pertubuhan itu didaftarkan secara sah di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Mengenai dakwaan belum ada tanda-tanda Pejuang akan diluluskan setelah lebih dua bulan permohonan dikemukakan, ROS menegaskan bahawa dakwaan itu adalah tidak wajar kerana pihak jawatankuasa penaja Pejuang telah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama bagi tujuan semakan dan mendapatkan pandangan mengenai tindakan lanjut yang perlu diambil terhadap permohonan tersebut.

"Seperti yang dimaklumkan kepada jawatankuasa penaja parti bahawa semakan terperinci hendaklah dilakukan pada setiap permohonan yang dikemukakan termasuk dokumentasi terutamanya perlembagaan yang merupakan rujukan utama sesebuah pertubuhan berdaftar," menurut ROS.

Setiausaha Agung Pejuang Datuk Amiruddin Hamzah pada Khamis mendakwa pendaftaran parti itu belum diluluskan walaupun sudah lebih dua bulan permohonan bertulis dan secara dalam talian dikemukakan kepada ROS.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS