Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jab Kesihatan Sabah nafi pesakit Covid-19 mati sebab hospital tiada katil
Diterbitkan:  Oct 30, 2020 4:05 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi menafikan dakwaan bahawa seorang pesakit Covid-19 meninggal dunia di sebuah klinik di Putatan semalam, kerana tidak dapat dimasukkan ke hospital ekoran ketiadaan katil.

Christina berkata siasatan terhadap punca kematian individu itu masih berjalan tetapi dakwaan tentang katil yang tidak mencukupi di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu adalah tidak benar.

"Pada 29 Oktober, masih ada 76 katil kosong di HQE dan 71 katil kosong di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

"HQE telah melipatgandakan usaha menangani keperluan mendesak akibat peningkatan kes Covid-19 setiap hari.

"Secara spesifiknya, HQE telah menambah bilangan katil untuk penjagaan rawatan rapi daripada 16 buah kepada 40, dengan 16 buah ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 24 buah lagi di Medical High Dependency Award yang diubah suai sebagai wad tambahan ICU," katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya lagi, Kementerian Kesihatan juga menempatkan 288 jururawat di hospital itu, dengan 88 daripadanya terlatih dalam rawatan rapi.

Kenyataan itu bagi mengulas dakwaan disiarkan blog Sabah Today yang mendakwa seorang lelaki berusia 60 tahun di Putatan meninggal dunia selepas sembilan hari disahkan positif, selepas tidak dapat ditempatkan di HQE ekoran ketiadaan katil kosong.

Memetik sumber yang rapat dengan keluarga mangsa, Sabah Today berkata lelaki itu dihantar pulang ke rumah selepas disahkan positif.

Dia didakwa mengalami kesukaran bernafas semalam dan dibawa ke sebuah klinik swasta yang kemudian merujuknya ke klinik kerajaan di daerah itu dan meninggal dunia di sana.

2 hospital, 5 pusat kuarantin

Kota Kinabalu berdepan peningkatan kes Covid-19 terburuk di Sabah, dengan 3,017 kes sejak 14 hari lalu.

Terdapat dua hospital untuk bandar raya itu dan daerah-daerah sekitarnya, iaitu Hospital Queen Elizabeth dan Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas (HWKSS).

Hospital Queen Elizabeth memiliki 456 katil manakala HWKSS 117 katil.

Kementerian Kesihatan turut membuka lima Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19:

  • Kompleks Sukan Likas (133 katil dewasa dan 34 katil kanak-kanak)
  • Institut Kemahiran Mara (121 katil)
  • Politeknik Kota Kinabalu (22 katil)
  • Institut Tadbiran Awam Negara (210 katil termasuk 31 untuk kanak-kanak)
  • Pusat Rela (60 katil)
  • Pusat Kebudayaan Penampang (93 katil)

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS