Laman sosial Twitter memadam satu ciapan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berhubung kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron, tidak lama selepas meletakkan tanda pada ciapan tersebut atas dasar "mengangkat keganasan".
Setakat pukul 10.50 malam tadi, ciapan itu telah digantikan dengan pesanan "Ciapan ini mencabuli peraturan Twitter".
Ciapan itu sebahagian daripada bebenang oleh Mahathir berkenaan kenyataan Macron susulan pembunuhan seorang guru di Perancis, yang antara lain mengisytiharkan "perang" terhadap apa yang disifatkannya sebagai "pemisah Muslim" dan menyifatkan Islam sebagai agama "dalam krisis".
Dalam ciapan yang dipadam itu, Mahathir mengatakan "Muslim ada hak untuk marah dan membunuh berjuta rakyat Perancis atas penyembelihan di masa lalu."
Twitter pada mulanya hanya menanda ciapan itu kerana didakwa mengangkat keganasan (glorifying violence).
Apabila kenyataan itu diulang ciap, ia akan digantikan dengan pesanan yang mengatakan "Ciapan ini mencabuli Peraturan Twitter berkaitan mengangkat keganasan".
"Bagaimanapun, Twitter memutuskan agar ciapan itu kekal dapat diakses kerana mungkin berkaitan dengan kepentingan awam".
Pesanan daripada Twitter itu juga menyediakan pautan kepada pengguna lain untuk tetap menunjukkan ciapan Mahathir atau membaca lebih lanjut mengenai dasar pengecualian kepentingan awamnya.
Di bawah dasar itu, ciapan yang sepatutnya dipadam boleh dikekalkan jika langkah itu dianggap untuk kepentingan awam. Ia hanya terpakai kepada pegawai kerajaan yang memenuhi kriteria tertentu.
Kenyataan Mahathir turut disiarkan secara penuh di Facebook. Hantaran itu telah dipadam namun tidak jelas siapa yang memadamnya.
Sebelum dipadam, ramai pengguna Twitter yang menyuarakan kebimbangan dan kritikan terhadap pandangan tersebut.
Ia turut dilaporkan media antarabangsa, antaranya Detik, Al Jazeera, South China Morning Post, New York Post dan agensi Reuters.
Setiausaha Dalam Negeri untuk Sektor Digital Perancis, Cedric O mengatakan dia telah berhubung dengan pegawai Twitter untuk menggesa akaun Mahathir digantung serta-merta.
"Jika tidak, Twitter akan bersubahat dengan seruan untuk pembunuhan," katanya.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinowski berkata dia terganggu dengan kenyataan Mahathir itu.
"Saya tahu dia tidak, dan tidak akan, menyokong keganasan sebenar. Tetapi dalam keadaan sekarang, kata-kata boleh mendatangkan akibat," katanya.
Dalam kenyataan yang turut disiarkan di blognya, Mahathir berkata walaupun dia membantah pembunuhan terhadap guru tersebut, Macron bersikap "primitif" kerana menyalahkan Islam atas perkara itu.
"Macron tidak menunjukkan dia seorang yang bertamadun. (Pembunuhan itu) tidak selari dengan ajaran Islam. Tetapi tanpa mengira agama yang dianuti, orang yang marah (berisiko) membunuh," katanya.
Pada 16 Oktober lalu, seorang guru, Samuel Paty dibunuh Abdoullakh Abouyedovich Anzorov - seorang pelarian Muslim beragama Islam - kerana didakwa menunjukkan karikatur Nabi Muhammad yang disiarkan majalah Charlie Hebdo kepada pelajarnya ketika kelas kebebasan bersuara.
Ucapan Macron itu, yang diucapkan ketika pengkebumian Paty, mencetuskan kemarahan sejumlah negara majoriti Muslim - termasuk Malaysia - serta mengundang tindak balas, seperti pembunuhan di gereja Perancis serta serangan di kedutaan negara itu di Arab Saudi.