Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad membidas Presiden Perancis Emmanuel Macron di atas kenyataannya berkaitan pembunuhan seorang guru di negara itu.
Pada 3 Oktober lalu, Macron antara lain mengisytiharkan "perang" terhadap apa yang disifatkannya sebagai "pemisah Muslim" dan menyifatkan Islam sebagai agama "dalam krisis".
Walaupun membantah pembunuhan itu, Mahathir turut membidas Macron yang menurutnya bersifat "primitif" kerana menyalahkan Islam atas perkara itu.
"Macron tidak menunjukkan dia seorang yang bertamadun. (Pembunuhan itu) tidak selari dengan ajaran Islam. Tetapi tanpa mengira agama yang dianuti, orang yang marah (berisiko) membunuh," katanya dalam hantaran di blognya hari ini.
Katanya lagi, orang Islam ada hak untuk marah dan menghukum orang Perancis atas pembunuhan di masa lalu, kebanyakan orang Islam tidak mengguna pakai "hukuman darah dibalas darah".
"Muslim tidak berbuat demikian. Orang Perancis (juga) tidak harus buat demikian. Perancis sepatutnya mengajar rakyatnya untuk menghormati perasaan orang lain.
"Memandangkan anda telah menyalahkan semua Muslim dan agamanya atas apa yang dilakukan oleh seorang individu yang marah, Muslim ada hak untuk menghukum Perancis. Boikot tidak memadai untuk menebus kesalahan Perancis selama ini," katanya lagi.
Pada 16 Oktober lalu, seorang guru, Samuel Paty dibunuh Abdoullakh Abouyedovich Anzorov - seorang pelarian Muslim beragama Islam - kerana didakwa menunjukkan karikatur Nabi Muhammad yang disiarkan majalah Charlie Hebdo kepada pelajarnya ketika kelas kebebasan bersuara.
Ucapan Macron itu, yang diucapkan ketika pengkebumian Paty, mencetuskan kemarahan sejumlah negara majoriti Muslim - termasuk Malaysia - serta mengundang tindak balas, seperti pembunuhan di gereja Perancis serta serangan di kedutaan negara itu di Arab Saudi.
Dalam hantaran itu, Mahathir turut membangkitkan perbezaan nilai dan tanggapan terhadap agama antara orang Islam dan orang Eropah.
Orang Barat berhak untuk "tidak mematuhi agama mereka" tetapi tidak boleh menunjukkan rasa tidak hormat kepada agama orang lain, katanya lagi.
Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur berkata Macron dalam ucapannya tidak menyasarkan orang Islam secara keseluruhan tetapi unsur Islamisme radikal yang mencetuskan keganasan.
Jakim pula hari ini menasihati orang Islam di Malaysia agar berhati-hati dalam sebarang tindak balas berhubung isu karikatur Nabi Muhammad dan tidak melalukan perkara di luar batasan agama dan undang-undang.
Umat Islam di Malaysia dinasihati agar berhati-hati dalam sebarang tindak balas menangani isu karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW sehingga melakukan sesuatu di luar batasan agama dan undang-undang.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Abdul Aziz Jusoh berkata, ia dikhuatiri mencetuskan suasana tidak harmoni antara masyarakat berbilang agama di negara ini.
“Islam menolak apa jua gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan sehingga menggugat keamanan negara mahupun dunia,” katanya seperti dipetik Bernama.