Satu lagi pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 untuk kes berisiko rendah (PKRC) dibuka di Wilayah Persekutuan Labuan hari ini untuk mengatasi peningkatan jumlah kes di sana.
"Disebabkan bilangan pesakit yang semakin bertambah, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan telah menyediakan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan dengan kapasiti 140 katil, menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC di WP Labuan sebanyak 317 katil.
"Pusat ini akan beroperasi sepenuhnya pada 29 Oktober 2020," kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Tambah Noor Hisam, bagi rawatan Covid-19 di Hospital Labuan pula, daripada 122 katil di Hospital Labuan, sebanyak 20 katil telah dikhususkan untuk pesakit kategori 4 dan 5, iaitu sebagai katil High Dependency Unit (HDU) dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di Wad Kelas Pertama dan Wad Kanak-kanak.
Baki sebanyak 102 lagi katil Hospital Labuan iaitu termasuk 5 katil ICU sedia ada akan terus digunakan untuk rawatan kes bukan Covid-19.
"Pembukaan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Labuan, dan agensi lain di WP Labuan termasuk Taiwan Buddist Tzu-Chi Foundation Malaysia, Institut Latihan Perindustrian dan beberapa penyumbang lain yang menjadikan pusat rawatan ini dapat dibuka dalam tempoh 24 jam.
"Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak atas pendekatan The Whole of Government and Whole of Society Approach.
"Tenaga kerja bagi pusat rawatan baharu ini akan mengunakan sepenuhnya tenaga kerja di JKWP Labuan dan pasukan bantuan yang telah dihantar untuk bantuan di JKWP Labuan," tambah Noor Hisham lagi.
Noor Hisham berkata, Labuan telah mencatatkan sebanyak 26 kes sejak awal wabak ini hingga 26 September.
Namun, sejak 27 September hingga 29 Oktober, Labuan telah mengalami lonjakan kes yang ketara, dengan sejumlah 366 kes Covid-19 baru, katanya.
Labuan kini berada di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang akan berlangsung sehingga 13 Nov.
Beberapa kawasan lain di Labuan juga diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).