Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Kerajaan negeri Johor akan menubuhkan Briged Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berperanan sebagai benteng memerangi fahaman bercanggah Ahli Sunnah Wal Jamaah, termasuk oleh kumpulan Hizbut Tahrir.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata briged dijangka ditubuhkan tahun depan itu, antara lain turut berperanan sebagai sukarelawan yang membantu kerja-kerja kemasyarakatan di negeri berkenaan.

Beliau berkata briged itu pada peringkat awal menyasarkan 200 belia berumur antara 18 dan 35 tahun dengan kelulusan sekurang-kurangnya Sijil Darjah Khas Agama Sekolah Agama Kerajaan Johor, dan akan diberikan latihan dakwah.

“Briged ini di bawah seliaan Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Negeri Johor. Johor bakal menjadi negeri pertama menubuhkan Briged Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kemungkinan kita akan memohon perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk melancarkan briged ini.

“Briged ini akan berperanan meliputi segenap aspek agama Islam, kita akan jadikan mereka sebagai benteng memerangi fahaman bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah, terutama fahaman Hizbut Tahrir,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul peringkat Johor, di sini hari ini.

Mengulas mengenai penerbitan karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW di Perancis yang mencemarkan agama Islam baru-baru ini, Tosrin berkata kerajaan negeri mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik serta provokatif, dan akan menghantar surat bantahan berhubung perkara itu kepada Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur pada 2 Nov ini.

Sementara itu, Tosrin berkata hanya dua daerah iaitu Tangkak dan Kota Tinggi tidak dibenarkan mengadakan sambutan Maulidur Rasul oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan COVID-19.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS