Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Karikatur nabi: Islam tolak apa jua gerakan pelampau, keganasan - Jakim

Umat Islam di Malaysia dinasihati agar berhati-hati dalam sebarang tindak balas menangani isu karikatur menggambarkan Nabi Muhammad SAW sehingga melakukan sesuatu di luar batasan agama dan undang-undang.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata ini kerana tindakan itu dibimbangi boleh mencetuskan suasana tidak harmoni antara penganut berbilang agama di negara ini.

Beliau berkata Islam yang dibawa Rasulullah SAW membawa kedamaian dengan perintah Allah dalam al-Quran menganjurkan kedamaian, larangan menumpahkan darah tanpa hak dan tidak memaksa orang bukan Islam memeluk Islam.

“Sesungguhnya Islam melarang umatnya melakukan kerosakan, kejahatan, kemungkaran, kekerasan, kezaliman sama ada sesama Islam atau dengan bukan Islam.

“Islam menolak apa jua gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan sehingga menggugat keamanan negara mahupun dunia,” katanya menerusi kenyataan sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini.

Menurut laporan media, pada 16 Okt lalu seorang guru di pinggir kota Paris, Perancis dipenggal kepalanya setelah menunjukkan beberapa karikatur Nabi Muhammad yang disiarkan dalam Charlie Hebdo kepada pelajarnya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata Jakim juga kesal dengan tindakan provokatif karikatur Nabi Muhammad SAW yang dicetuskan oleh akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo.

“Isu ini tidak sepatutnya ditimbulkan apatah lagi di saat umat Islam di seluruh dunia kini meraikan Rabiulawal bulan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Sementara itu, Abdul Aziz mengumumkan secara maya Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican dipilih sebagai penerima Anugerah Utama Semarak Cinta Rasul SAW1442H/2020M.

Anugerah tersebut diberikan berdasarkan jasa beliau memberi bantuan kebajikan dan menaik taraf masjid serta surau di negara Islam serantau.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS