Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khaled: Siapa nak jadi timbalan Muhyiddin tak dibincang Umno
Diterbitkan:  Oct 28, 2020 7:32 PM
Dikemaskini: 11:38 AM

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin, berkata parti itu tidak ada membincangkan atau memutuskan siapa yang akan dicalonkan sebagai timbalan perdana menteri kepada Muhyiddin Yassin.

Dipetik BH Online hari ini, Khaled berkata Umno juga tidak pernah dimaklumkan mengenai permintaan perdana menteri untuk mereka menamakan calon.

"Tak tahu (Umno diminta kemuka calon timbalan perdana menteri). Tiada (dibincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno)," katanya dipetik portal berita itu.

Semalam Sin Chew Daily mendakwa Muhyiddin sedang menunggu Umno mencalonkan pemimpin parti itu untuk dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

Menurut sumber yang tidak didedahkan itu Muhyiddin bersedia melantik seorang wakil Umno ke jawatan berkenaan dan terserah kepada parti terbabit mengemukakan calon.

Bagaimanapun kata sumber berkenaan Muhyiddin tidak dapat menerima Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebagai timbalannya kerana ahli parlimen Bagan Datuk itu masih dibicarakan di mahkamah. 

Sementara itu Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Setiausaha Agung BN, Annuar Musa berkata laporan bersifat spekulatif perlu dihentikan dan pihak yang terbabit perlu diberi keadilan.

"Tolong hentikan laporan spekulatif karut-marut... be fair to PM (berlaku adillah kepada perdana menteri). Be fair to umno, too (Berlaku adil kepada Umno juga)," katanya melalui Twitter.

Pendirian Umno menjadi sorotan pelbagai pihak beberapa hari lalu selepas mereka membayangkan kemungkinan mahu menarik semula sokongan yang diberi kepada Perikatan Nasional (PN).

Ia meletakkan kedudukan Muhyiddin menjadi tanda tanya kerana sebelum ini dia mempunyai sokongan yang kecil saja untuk membentuk kerajaan.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila cadangan PN untuk mengisytiharkan darurat ditolak Yang di-Pertuan Agong pada minggu lalu.

Antara isu yang melatari hubungan naik turun Umno - PN ialah posisi pemimpin parti itu dalam kabinet Muhyiddin.

Tidak seperti perdana menteri sebelum ini, Muhyiddin tidak melantik sesiapa pun menjadi timbalannya. Presiden Bersatu itu sebaliknya mewujudkan jawatan menteri kanan seramai empat orang.

Daripada jumlah itu, hanya seorang pemimpin Umno diberikan tempat, manakala dua lagi Bersatu dan seorang Gabungan Parti Sarawak.

Beberapa nama disebut-sebut untuk dilantik menjadi timbalan perdana menteri termasuk Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS