Polis sedang menjalankan siasatan ke atas kenyataan media sosial Adun Sungai Pelek dari DAP, Ronnie Liu yang dikatakan berunsur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Ia berhubung hantaran Liu di akaun Faceboknya "Ronnie Liu Tian Khiew" yang mengandungi gambar protes besar-besaran yang dipercayai berlaku di Thailand.
"Now in Bangkok. They are saying no to the King (Sekarang di Bangkok. Mereka katakan tidak kepada raja)," tulis Liu.
Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata Liu disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan kerana mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan.
Selain itu, Adun berkenaan turut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Pihak polis juga katanya telah memulakan siasatan pada 21 Oktober dan akan mengesan suspek.
“Siasatan lanjut diteruskan untuk mengesan suspek dan merakam keterangan saksi-saksi yang kompeten serta mendapatkan keterangan dokumen,” katanya lagi.
Tidak dapat dipastikan bilakah hantaran kontroversi itu dimuat naik di media sosial namun semakan mendapati ia telah dipadamkan dari akaun Facebook berkenaan.
Bagaimanapun, tangkap layar hantaran itu tersebar di media sosial dengan gesaan untuk menolak DAP.
Seorang warganet juga mempersoalkan apakah dengan hantaran itu, Liu cuba menghasut orang awam ke atas sistem beraja di Malaysia.
Sementara itu, Liu memberitahu Malaysiakini bahawa hantaran itu dibuat dua minggu lalu.
Dia berkata akan memberi keterangan kepada polis selepas menghadiri acara pengkebumian di Melaka.
Menurutnya, dia akan berbuat demikian pada pukul 10.30 pagi esok, di ibu pejabat polis daerah Petaling Jaya.
Huzir pula berkata, polis turut menyiasat tiga lagi pengguna media sosial yang membuat kenyataan serupa terhadap Agong.