Bekas perdana menteri Najib Razak mengakui bahawa dia ada mengemukakan cadangan untuk Umno mempertimbangkan kerjasama dengan presiden PKR, Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Najib menegaskan bahawa cadangannya itu adalah dengan syarat DAP tidak terlibat.
Cadangan itu dikemuka dalam pertemuan anggota parlimen BN hari ini, berikutan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional untuk mendapatkan pengisytiharan darurat.
Dalam catatan di Facebook malam ini, Najib mengatakan bahawa cadangan pertamanya adalah untuk Umno mendesak satu tarikh yang tetap untuk pilihan raya umum pada masa hadapan selepas Covid-19 terkawal.
Jelasnya, pembubaran parlimen untuk mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih semula adalah pilihan terbaik menstabilkan negara memandangkan majoriti yang tipis kerajaan PN .
"Cadangan kedua saya ialah jika cadangan pertama ditolak PN maka Umno perlu terbuka kepada rundingan dengan parti-parti politik lain termasuk parti Anwar jika Umno masih tak berpuas hati dengan layanan dalam kerajaan PN selepas apa yang berlaku di Sabah.
"Namun, cadangan saya ada syarat bahawa kerjasama dengan Anwar tidak akan melibatkan parti DAP. Ini ditegas beberapa kali dalam mesyuarat hari ini," katanya.
Najib menyorot bahawa Umno dan BN boleh bekerjasama dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali pada Februari lalu walaupun ketika itu mereka merupakan seteru Umno.
"Kenapa kita tidak boleh runding dengan Anwar untuk bekerjasama bersyarat sehingga PRU15?" katanya.
Antara syarat yang sibeutkan Najib termasuklah membuka jalan untuk Umno mengambil peranan dalam hala tuju kewangan dan ekonomi, memandangkan ketika ini Bersatu memonopoli jawatan perdana menteri, menteri kanan yang paling kanan, menteri kewangan, menteri ekonomi dan Majlis Tindakan Ekonomi tanpa sebarang wakil dari parti Umno, PAS atau mana-mana parti lain.
Meskipun tidak menyebutkan nama, "menteri kanan paling kanan" yang dimaksudkan dipercayai merujuk kepada Azmin yang merupakan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.
Jelas Najib, dengan Umno memainkan peranan dalam kewangan dan ekonomi, mereka boleh membantu merancang pelan rangsangan ekonomi yang lebih berkesan, dan mempercepatkan pakej bantuan khusus untuk Sabah yang amat diperlukan segera.
Sabah dilanda wabak Covid-19 dengan 7,488 kes aktif sehingga hari ini.
Najib juga mengatakan dia masih terbuka untuk terus mendukung PN dengan syarat tertentu, sehingga Umno dan BN diberi peranan yang lebih besar dalam urusan ekonomi.