Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Keputusan Suhakam tak kata siasatan kehilangan Amri sambil lewa

Keputusan inkuiri Suhakam pada tahun 2019 mengenai dakwaan kehilangan aktivis Amri Che Mat secara paksa tidak menyatakan bahawa siasatan polis terhadap perkara itu dibuat sambil lewa atau tidak efektif, kata polis.

Mereka juga mempertikaikan dapatan Suhakam bahawa Amri adalah mangsa kehilangan secara paksa.

Pihak polis menyebut perkara itu dalam pernyataan pembelaan mereka terhadap tindakan undang-undang berhubung kehilangan Amri pada 24 Nov 2016. 

Pernyataan Pembelaan itu difailkan pada 15 Jun tahun ini.

Mereka membantah dakwaan dalam tuntutan saman tersebut yang mengatakan siasatan polis terhadap perkara itu dilakukan secara sambil lewa atau tidak efektif.

"Keputusan inkuiri Suhakam telah dibuat pada 3 April 2019 tidak mengatakan bahawa siasatan polis ke atas kehilangan Amri Che Mat dibuat sambil lewa atau tidak efektif.

"Defendan-defendan mengatakan dakwaan plaintif bahawa tiada siasatan dibuat selepas keputusan Suhakam adalah rekaan plaintif semata-mata kerana satu pasukan petugas khas (PPK) telah ditubuhkan untuk mengkaji laporan pendengaran Suhakam mengenai kehilangan pastor Raymond dan Amri Che Mat serta mengenal pasti perkara-perkara yang dibangkitkan di dalam laporan tersebut.

"Defendan-defendan mengatakan bahawa dapatan Suhakam tidak mengikat mahkamah kerana ia dibuat hasil daripada prosiding inkuiri awam (public inquiry) dan berdasarkan kepada "terms of reference" yang telah ditetapkan untuk dicadangkan kepada kerajaan atau pihak-pihak terlibat," dakwa defendan dalam pernyataan pembelaan yang dilihat oleh Malaysiakini hari ini .

Pada 26 Jun tahun lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Kementerian Dalam Negeri menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat semula dakwaan kehilangan Amri dan Koh.

Pengumuman Pasukan Petugas Khas itu dibuat setelah dapatan Suhakam pada 3 April tahun lalu bahawa Amri dan Koh adalah mangsa kehilangan paksa yang dikatakan dilakukan oleh anggota dari Ibu Pejabat Polis Cawangan Khas di Bukit Aman.

Pada 18 Nov tahun lalu, isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin dilapor mengambil tindakan undang-undang berhubung kehilangan Amri, dengan 21 individu dan entiti dinamakan sebagai defendan.

Selain polis dan kerajaan Malaysia, defendan lain termasuk Menteri Dalam Negeri (yang tidak disebutkan namanya); bekas menteri dalam negeri Ahmad Zahid Hamidi, bekas ketua polis negara, Khalid Abu Bakar dan Mohamad Fuzi Harun, juga bekas pesuruhajaya cawangan Khas, Awaludin Jadid.

Dilaporkan bahawa Norhayati menyaman polis berikutan gagal menjalankan siasatan yang sewajarnya berhubung kehilangan Amri.

Penyataan pembelaan itu juga merujuk kepada sebahagian dari Pernyataan Tuntutan penggugat yang membuat tuduhan itu meskipun setelah penemuan Suhakam dikeluarkan pada April tahun lalu, para defendan didakwa gagal menjalankan siasatan serius.

Defendan mendakwa Norhayati tidak mempunyai sebab untuk menyaman mereka kerana siasatan yang sewajarnya telah dilakukan berhubung laporan polis plaintif mengenai kehilangan Amri.

“Defendan-defendan menegaskan tiada kausa tindakan yang wujud dalam tuntutan ini dan plaintif tidak berhak untuk sebarang relif atau ganti rugi kerana siasatan yang sewajarnya telah dijalankan oleh PDRM ke atas laporan-laporan polis yang telah dibuat oleh plaintif ke atas kehilangan Amri Che Mat, ” dakwa mereka dalam Pernyataan Pembelaan..

Defendan mendakwa bahawa perkara ini disokong oleh siasatan polis terhadap laporan pertama Norhayati mengenai kehilangan Amri yang dibuat pada tahun 2016.

"Tiada sebarang keterangan mahupun bukti kukuh yang boleh disandarkan untuk menyokong pernyataan plaintif bahawa Amri bin Che Mat telah diculik pada waktu hampir tengah malam pada 24 Nov 2016, di C33, Kg Padang Behor, 01000 Kangar, Perlis.

"Selanjutnya defendan-defendan menyatakan bahawa langkah-langkah sewajarnya dalam menjalankan dan meneruskan siasatan telah diambil antaranya setiap nama yang diberi oleh plaintif di dalam laporan polis plaintif dan juga semasa rakaman plaintif diambil di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah," kata pernyataan pembelaan tersebut.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS