Senarai lokasi terdahulu: 8 Okt | 9 Okt | 10 Okt | 11 Okt | 12 Okt | 13 Okt | 14 Okt | 15 Okt | 16 Okt | 17 Okt | 18 Okt | 19 Okt | 20 Okt | 21 Okt | 22 Okt | 23 Okt | 24 Okt.
Berikut adalah lokasi yang disahkan terjejas akibat Covid-19 hari ini.
- Lokasi terkini yang ditambah dalam senarai: Mykori Dessert Cafe di Bayan Baru.
Malaysiakini akan mengemas kini senarai ini dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perkembangan terbaru.
Jika anda mengetahui mana-mana lokasi lain yang diumumkan hari ini, tetapi tidak disenaraikan di sini, sila hantarkan e-mel ke [email protected].
Untuk senarai lokasi yang terjejas dalam 14 hari terakhir, sila lawati laman khas Kini News Lab ini.
PERNIAGAAN
- Mykori Dessert Cafe di Bayan Baru, Pulau Pinang
Seorang pelanggan kedai ini yang terletak di dalam D'Piazza Mall dikesan positif pada 23 Okt, lapor Guangming Daily.
Satu notis daripada pihak pengurusan kompleks beli-belah itu berkata, pelanggan terbabit berkunjung ke Mykori pada 20 Okt lalu melalui pengesanan aplikasi MySejahtera.
Premis berkenaan diarah ditutip selama 14 hari mulai 23 Okt dan semua pekerjanya menjalani ujian saringan, diikuti kuarantin kendiri.
- Sabah dan Sarawak
Lima belas kru dua kapal gas asli cecair (LNG) terapung didapati positif Covid-19, lapor Harian Metro hari ini.
Ketika lokasi kapal berkenaan tidak dapat disahkan, kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai Kluster Sauh pada tengah hari semalam menyatakan, 30 orang dikesan dijangkiti Covid-19 dari kluster berkenaan.
Kluster tersebut dikesan di daerah Kota Kinabalu dan Papar di Sabah; serta Miri dan Daro di Sarawak.
- Baskin Robbins, 1Utama Petaling Jaya
Baskin-Robbins Malaysia hari ini mengeluarkan kenyataan memberitahu seorang pekerjanya positif.
Menurut syarikat itu kali terakhir kakitangan terbabit bertugas di situ ialah pada 22 Okt dan kini sedang dirawat di hospital.
Ia juga menyatakan premis berkenaan ditutup untuk proses nyah kuman dan semua individu yang menjadi kontak rapat pekerja terbabit sudah menjalani saringan.
Mereka juga diarah untuk menjalani kuarantin.
Syarikat itu turut melupuskan semua makanan dan bungkusan yang ada di premis berkenaan.
"Sesiapa yang berkunjung ke B-R One Utama dari 18 hingga 22 Okt, KKM mungkin akan menghubungi anda jika ia dirasakan perlu," kata kenyataan tersebut.
- Family Mart, KLIA2 Gateway Mall
Seorang pekerja premis ini positif Covid19 hari ini, kata rangkaian kedai serbaneka itu dalam satu kenyataan.
Pekerja itu terakhir berada di kedai berkenaan pada 22 Oktober.
SEKOLAH
- Sekolah Agama Kempas dan Sekolah Agama Taman Cempaka, Johor
Bernama melaporkan hari ini kedua-dua sekolah ditutup sehingga 31 Okt.
PETEMPATAN
- PPR Kampung Baru Air Panas
Berdasarkan notis yang dimuat naik di Facebook, badan pengurusan petempatan di sini menyatakan ada seorang penghuni di blok D dikesan positif.
Notis tersebut bertarikh 20 Okt.
- Goodyear Court 1, Subang Perdana
Sin Chew Daily melaporkan, pihak pengurusan Goodyear Court 1 di Subang Perdana mengeluarkan notis pada 23 Okt berhubung salah seorang penduduk yang sah dijangkiti wabak Covid-19.
Menurut pengumuman itu lagi, kerja-kerja sanitasi dilakukan pada hari sama.
- PV13 Platinum Lake Condominium, Danau Kota
Pihak pengurusan kondominium semalam mengeluarkan notis menyatakan salah seorang penduduk yang tinggal di Blok B tingkat 22 disahkan positif Covid-19.
Sin Chew Daily melaporkan pihak pengurusan melakukan kerja sanitasi di kawasan terkesan termasuk lif di blok A dan B kondominium itu.
- Sri Manja Court, Petaling Jaya
Laporan Sin Chew Daily menyatakan tiga penduduk di Tingkat 9 Blok F Sri Kondominium Manja Court di Petaling Jaya disahkan positif.
Notis dikeluarkan pihak pengurusan kondominium yang menjelaskan mereka sedang menjalankan proses pembersihan dan nyah kuman di bangunan tersebut.
- SA2 Tower D'sara Sentral, Selangor
Pihak pengurusan kondominium mengeluarkan notis pada 22 Okt untuk memaklumkan dua penghuni di situ - yang tinggal dalam unit sama - dikesan positif Covid-19.
Kedua-dua mereka sudah dibawa ke hospital untuk rawatan.
- D'Sands Residence, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur
Seorang penduduk di Blok B1 positif hari ini, kata pihak pengurusan dalam notis kepada penduduk.
Pembasmian kuman akan segera dilakukan, tambah kenyataan itu.
Penduduk yang menjalani kuarantin rumah Covid-19 diminta untuk memberitahu pihak pengurusan kondominium.
BANGUNAN KERAJAAN
- Pusat Tahanan Sementara (PTS) Papar, Sabah
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dilaporkan mengenal pasti kes positif Covid-19 melibatkan lima pegawai yang bertugas di PTS Papar.
Bernama melaporkan pada Sabtu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata seramai 33 pendatang tanpa izin di pusat tahanan berkenaan menjalani saringan pada hari ini dan masih menunggu keputusan.
KEMUDAHAN AWAM
- MRT Laluan Kajang
Seorang kakitangan Rapid Rail Sdn Bhd yang bertugas di bahagian operasi MRT disahkan positif Covid-19 dan kini sudah dikuarantin di Hospital Sungai Buloh .
Menurut kenyataan Rapid Rail, petugas berkenaan - yang berkhidmat sebagai pengendali tren - bekerja sehingga 21 Oktober lalu.
Susulan insiden itu, Rapid Rail yang juga operator untuk MRT Laluan Kajang melaksanakan kerja-kerja penyah kuman dan pembersihan, khususnya di ruang digunakan petugas berkenaan, malam tadi.
Menurut kenyataan itu lagi, semua petugas lain yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit terbabit diminta menjalani ujian saringan dan melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari, seperti ditetapkan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan.
[Kemas kini menyusul]