Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tangani Covid-19 dengan perlembagaan, sains dan data'
Diterbitkan:  Oct 24, 2020 2:58 PM
Dikemaskini: 6:58 AM

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa kerajaan menangani krisis Covid-19 dengan mempertahankan perlembagaan serta membenarkan demokrasi berfungsi.

Katanya, kerajaan tidak patut menambah kesengsaraan yang dialami rakyat ketika ini dan wabak itu hanya akan dapat diatasi dengan pendekatan saintifik, pemulihan ekonomi dan kepatuhan kepada perlembagaan.

“Saya menyeru agar kerajaan menangani krisis ini dengan fokus, berpelembagaan dan mempergiatkan segala usaha mendidik masyarakat berasaskan sains dan data,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Menurut bekas menteri besar Negeri Sembilan itu lagi sebarang tindakan yang membelakangkan sains, menjejaskan ekonomi dan memencilkan peranan perlembagaan akan meletakkan negara serta rakyatnya dalam keadaan yang lebih sulit dan memburukkan lagi keadaan.

“Tanganilah krisis ini dengan mempertahankan perlembagaan, membenarkan demokrasi berfungsi, memperkemaskan respons sistem kesihatan dan keselamatan awam dan mengutamakan kepentingan rakyat biasa dengan tidak menambahkan kesususahan kepada mereka,” katanya lagi.

Tambah Mohamad, Malaysia setakat ini menunjukkan kemampuan yang baik untuk menangani Covid-19, dan tidak dirundung kelumpuhan ekonomi atau sistem keselamatan, malah rakyatnya juga patuh dengan protokol kesihatan, meskipun mereka sendiri terkesan dengan krisis itu.

Meskipun tidak mengaitkan secara langsung, hantaran Mohamad itu hadir di tengah kritikan memuncak terhadap kemungkinan pelaksanaan darurat yang dipersetujui oleh jemaah menteri, atas alasan untuk menangani wabak Covid-19.

Cadangan itu kini sedang menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, yang dimaklumkan akan berunding dengan Raja-raja Melayu berhubung perkara itu.

Pandangan Mohamad itu senada dengan yang disuarakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan apakah yang boleh dicapai dengan pelaksanaan darurat, melebihi daripada apa usaha yang telah diambil kerajaan setakat ini.

Pintu keluar sentiasa terbuka

Muhyiddin Yassin kini berdepan kritikan dengan cadangan darurat itu, dengan sesetengah pihak mengaitkannya dengan cubaan perdana menteri itu mengelak undian - terutama untuk Belanjawan 2021 - di Parlimen yang akan menguji majoriti yang dimilikinya.

Sementara itu bekas menteri kanan BN, Rafidah Aziz, turut membidas alasan kerajaan untuk melaksanakan darurat itu dengan mengibaratkannya seperti mahu membunuh beberapa ekor tikus di rumah dengan menggunakan bom.

“Saya tak sangka saya hidup untuk melihat perkara ini terjadi.

Kata bekas ketua Wanita Umno itu lagi, rakyat menerima perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengelak penularan wabak seperti penjarakan fizikal, penggunakan pelitup muka dan menyah kuman.

Rafidah Aziz

Namun katanya setelah tujuh bulan, kerajaan “tiba-tiba” mahu melaksanakan darurat.

“Tapi, untuk isytiharkan darurat, memberi kesan kepada parlimen, proses demokrasi, dan mengetepikan norma demokrasi?

“Itu samalah macam mencari tikus-tikus di atap dan di dalam rumah, dan menggunakan bom untuk membunuh mereka. Seluruh rumah akan musnah.

“Kita sedang jatuh di cerun yang sangat licin, dan kita akan tergolong dalam negara gagal!” katanya

Tambah Rafidah, kumpulan yang menyusup bagi mendapatkan kuasa perlu bertanggungjawab mentadbir, dan tidak menggunakan Covid-19 sebagai alasan melaksanakan darurat demi menyelamatkan kuasa politik mereka.

“Jangan duduk di dapur kalau tak tahan bahang (api). Pintu keluar sentiasa terbuka.

“Jangan heret orang lain keluar sekali dengan kamu!” katanya lagi. 



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS