Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Kes Covid-19 merebak ke Pantai Timur Sabah kerana pilihan raya'
Diterbitkan:  Oct 22, 2020 9:09 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

Kes Covid-19 mungkin merebak dari pantai timur Sabah ke pantai barat negeri itu akibat pilihan raya negeri baru-baru ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah, Masidi Manjun.

"Pemerhatian kami adalah kes-kes di pantai barat yang mungkin berasal dari pantai timur mungkin disebabkan oleh pergerakan orang yang kembali dari timur ke barat untuk mengundi semasa pilihan raya," katanya pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

Bagaimanapun, dia berkata ini berdasarkan penemuan awal dan Kementerian Kesihatan masih menyiasat perkara itu.

Masidi berkata demikian ketika ditanya bagaimana kluster LD Benteng tersebar ke pantai barat Sabah, walaupun sekatan perjalanan telah dikenakan di Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna pada 28 Sept, sebelum perjalanan rentas daerah dilarang di negeri ini.

Kluster Benteng LD pertama kali dikesan di lokap ibu pejabat polis daerah Lahad Datu dan Penjara Tawau. 

Ia pertama kali diumumkan pada 1 Sept dan merupakan antara kluster terawal dikesan dalam gelombang kes Covid-19 ketika ini.

Kluster ini berkembang kepada 1,085 kes dan menjadi kluster aktif kedua terbesar di Malaysia.

Kes-kes positif dilaporkan di Lahad Datu, Tawau, Sandakan, Kinabatangan dan Tuaran.

Untuk rekod, hari mengundi pada pilihan raya negeri Sabah ditetapkan pada 26 Sept, hanya dua hari sebelum sekatan perjalanan dikenakan ke atas empat daerah pantai timur.

Sementara itu, Masidi juga ditanya bagaimana satu kes direkodkan di daerah Nabawan semalam walaupun sekatan perjalanan telah dikenakan.

Sebelum ini, Nabawan merupakan satu daripada dua "zon hijau" di Sabah daripada 26 daerah.

Masidi berkata, kes itu mungkin ada kaitan dengan kluster Basung di Kudat.

"Hasil siasatan Jabatan Kesihatan berkemungkinan besar kes ini melibatkan seorang pemborong ikan di Papar yang mendapat jangkitan di Pasar Ikan Papar yang berkemungkinan ada kaitan dengan Kluster Basung di Kudat.

"Walaubagaimanapun perkara ini masih di dalam siasatan oleh KKM," katanya.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS