Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KKM tak dedah lokasi terjejas Covid-19 untuk elak stigma
Diterbitkan:  Oct 22, 2020 7:29 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Kementerian Kesihatan (KKM) tidak akan mendedahkan di mana lokasi Covid-19 dikesan bagi mengelakkan timbulnya stigma, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, berbanding mendedahkan lokasi yang tepat, cara yang lebih baik adalah melakukan sanitasi di lokasi berkenaan untuk memastikannya selamat dan dibenarkan dibuka semula kepada orang ramai.

"Kita tidak kenal pasti atau bahkan umumkan kita sedang melakukan saringan (di mana-mana lokasi) kerana kita tidak ingin mencipta stigmatisasi di kawasan itu.

"Apa yang ingin kita hindari adalah, jika ada kes, kamu tidak mahu ke sekolah, kondo atau pusat beli-belah itu kerana takut," katanya pada taklimat harian berkaitan Covid-19 hari ini.

Noor Hisham diminta mengesahkan apakah kes yang dikesan di sebuah kondominium di Petaling Jaya baru-baru ini ada kaitan dengan kluster Utama, dan sekiranya kes tersebut melibatkan pekerja pusat beli belah 1 Utama.

Kes indeks kluster Utama merupakan pengawal keselamatan di pusat membeli-belah berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata kementerian itu berada di bawah tekanan untuk mendedahkan lokasi berkenaan tetapi mengatakan pihaknya sebaliknya menumpukan usaha untuk memastikan lokasi yang terjejas selamat untuk dibuka semula.

"Kita lakukan yang terbaik. Sekiranya ada kes, kita akan bersihkan kawasan itu, tapi kita tidak mahu stigma di restoran, pusat membeli-belah atau bahkan kondominium," katanya.

Sebelum ini Anggota Parlimen Bangi Ong Kian Ming mendesak KKMmencontohi Singapura dengan mendedahkan lokasi yang terjejas untuk memberi peluang kepada orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga.

Singapura menerbitkan senarai lokasi di mana pesakit telah berkunjung ke sesuatu kawasan itu selama lebih dari 30 minit, ketika mereka dijangkiti.

Ong berkata, ini membantu membina keyakinan orang ramai berbanding pengumuman yang tidak jelas di sesuatu kawasan yang boleh menimbulkan kebimbangan mereka yang tinggal di seluruh kawasan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS