Pergerakan Pemuda MCA dan MIC Perak mendakwa menteri besar Ahmad Faizal Azumu mengenepikan dan menganaktirikan kedua-dua parti tersebut dalam kerajaan negeri.
Ketua Pemuda MCA Daniel Wa Wai How dan Ketua Pemuda MIC, S Jayaganes berkata demikian dalam kenyataan bersama hari ini.
“Kami kesal dan hampa dengan Ahmad Faizal yang langsung tidak mengiktiraf dua parti komponen BN itu merupakan wakil tunggal suara dan wakil kaum India dan Cina di Perak.
“Langsung tiada sebarang dasar atau program khas demi kebajikan dan pembangunan kaum India dan Cina yang dilaksanakan oleh Ahmad Faizal sejak mengemudi Kerajaan Negeri Perak selama 30 bulan, termasuk selama 22 bulan di bawah kerajaan negeri Pakatan Harapan sebelum ini," kata mereka.
Mereka mendakwa gesaan supaya dilantik pegawai atau penasihat khas kaum India dan Cina dalam pentadbiran negeri tidak diendahkan.
Malah Ahmad Faizal berkata dia sendiri mampu mewakili kepentingan masyarakat India dan Cina.
"Kenyataan MB yang berkata mampu mewakili kaum Cina dan India tidak masuk akal dan memang langsung tidak boleh diterima.
“MIC dan MCA sebagai parti komponen BN yang merupakan teras kerajaan negeri pada hari ini mempunyai sejarah lebih tujuh dekad di dalam memperjuangkan isu-isu kaum India dan Cina secara konsensus.
"Akan tetapi, MB Perak mengenepikan MIC dan MCA dan lebih cenderung ke arah beberapa NGO yang muncul bagai cendawan dan mendakwa kononnya mewakili masyarakat India dan Cina.
"Apakah motif dan hala tuju sebenar Ahmad Faizal?” soal mereka.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Faizal berkaitan dakwaan itu.
Isnin lalu, Pengerusi Umno Perak Saarani Mohammad berkata persefahaman serta perjanjian ketika pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di negeri itu sudah tidak dihormati.
Ini susulan Ahmad Faizal melantik Adun Umno Aznel Ibrahim sebagai setiausaha politiknya, yang menurut Saarani dibuat tanpa perbincangan dengan partinya.
Menurut, pengerusi Bersatu Perak itu lagi bahawa beliau tidak perlu mengukuhkan kedudukannya kerana telah pun mendapat sokongan majoriti dari Adun Umno dan PAS.